“Benda Nak Jadi Kita Tak Boleh Nak Kata Apa” - FiziWoo Tak Serik Berkolaborasi Dengan Selebriti, Tapi Lebih Berhati-Hati
Pereka fesyen FiziWoo mengakui mereka tidak serik untuk bekerjasama dengan selebriti Malaysia. Namun, bagi koleksi FiziWoo's Raya Collection 2025, mereka memilih untuk berkolaborasi dengan ahli politik dan pempengaruh.
Menurut pengasas jenama tersebut, Hafizi Woo dan Izree Kai Haffiz, mereka juga tidak 'banned' mana-mana selebriti yang pernah terpalit kontroversi kerana bagi mereka, urusan kerja adalah secara profesional.
"Tak serik (kerjasama dengan selebriti). Tapi bagi saya, bila kami mengambil wajah sebagai 'muse', apa yang berlaku selepas itu adalah sesuatu yang tidak dijangka,” katanya kepada Gempak.
Fiziwoo berkata demikian ketika mereka sedang mengendalikan majlis FiziWoo Raya25 Collection Iftar Soirée di Bukit Setiawangsa, Kuala Lumpur pada Selasa malam.
2024, Tahun Penuh Dugaan Buat Fiziwoo
Mengimbas kembali tahun lalu, Hafizi mengakui 2024 merupakan tahun penuh kontroversi buat jenama mereka sehingga menerima pelbagai notifikasi dan komen daripada orang ramai.
Namun, mereka turut sedar bahawa perkara seperti ini berada di luar kawalan mereka.
BERITA BERKAITAN: “Semua Selebriti Pakai Baju Kami, Termasuklah Bella Astillah" - FiziWoo
BERITA BERKAITAN: Fiziwoo Simpati Dengan Pereka Fesyen Yang Berdepan Masalah Kewangan - “Kami Rasa Kasihan & Terkesan Dengan…”
BERITA BERKAITAN: Fiziwoo Keluar Disclaimer, Rakam Video Promosi Baju Raya Bersama Ruhainies Disember Lalu - "Kami Tiada Niat Mencalarkan Imej Individu..."
BERITA BERKAITAN: Ummi Nazeera Bakal Jadi Wajah Fiziwoo? Ini Penjelasan Fiziwoo - “Ummi Merupakan..”
Walaupun pernah terpalit dengan pelbagai isu, Hafizi percaya setiap tahun perlu ada ‘guideline’ atau panduan tertentu agar setiap keputusan yang dibuat berakhir dengan baik.
"Kami sedar tahun 2024 lalu adalah tahun yang sangat kontroversi buat FiziWoo dan bermacam notifikasi diterima. Tetapi seperti orang kata, benda itu di luar kawalan kita.
"Benda nak jadi, kita tak boleh nak kata apa. Cuma, tahun demi tahun sudah tentu kita ada panduan supaya bila buat sesuatu, ia berakhir dengan cantik," kongsinya.
Tak Campur Urusan Peribadi, Fokus Pada Fesyen
Dalam dunia fesyen, kolaborasi dengan selebriti bukan sesuatu yang baru. Namun, mereka menegaskan FiziWoo hanya menjalankan tugas mereka sebagai pereka fesyen tanpa mencampuri urusan peribadi mana-mana individu.
Meskipun pernah terpalit dengan kontroversi,mereka tetap bersikap profesional dan tidak akan menyenarai hitam mana-mana selebriti yang pernah berkolaborasi dengan mereka sebelum ini.
"Malah orang yang kenal siapa kita, dia tahu dan tidak melatah. Sebagai pereka fesyen, kita hanya buat kerja kita saja. Kita tak ambil campur urusan peribadi dan rumah tangga orang.
"Mereka (selebriti) adalah kawan-kawan kami. Pada masa akan datang, kerjasama FiziWoo akan bergantung kepada kesesuaian koleksi dengan gaya hidup selebriti itu sendiri.
"Malah, FiziWoo juga sedia bekerjasama lagi dengan selebriti yang pernah bersama kami sebelum ini dan sama sekali tidak akan 'banned' mereka, kongsi mereka"
Sambut 10 Tahun, Mahu Sesuatu Yang Baharu
Setelah hampir sedekad perjalanan FiziWoo dalam industri fesyen, Hafizi akan memastikan jenama mereka akan terus maju dengan pendekatan yang lebih segar dan eksklusif.
Bagaimanapun, Hafizi turut menegaskan jenama FiziWoo tidak pernah mendiskriminasi sesiapa, tetapi dalam masa yang sama mereka juga mempunyai prinsip tersendiri dalam berkarya.
"Untuk tahun ini, kita hanya mahukan sesuatu yang baharu kerana ia juga tahun ke-10 Fiziwoo berada dalam industri dan apa yang membuatkan kita berjaya.
"Bukan tanggungjawab kita untuk menoktahkan perjalanan orang lain atau menghukum, sebab kita sendiri pun tidak tahu bagaimana pengakhiran kita nanti.
"Sebab itu, FiziWoo tidak ada diskriminasi tetapi tidak juga menghalalkan cara,” kongsinya.