Hiburan
Berdepan Masalah Kemurungan, Radhi OAG Sertai Kumpulan Tabligh
Vokalis kumpulan OAG Radhi mendedahkan dia berdepan masalah kemurungan selepas bercerai dengan isterinya Nur Shahira Ayu Zahiri Julai lalu.
Menurut Radhi atau nama sebenarnya Mohd Radhi Razali, 42, dia mengakui dirinya banyak berdepan masalah sehingga membuatkan dia menyertai kumpulan Tabligh.
“Tahun 2020 ni saya nak habiskan muzik saya dan berdakwah. Saya ada mengikuti jemaah Tabligh yang terdiri daripada kawan-kawan saya juga. Mereka banyak membantu saya.
“Paling jauh saya ikut mereka setakat ini sampai ke Pulau Besar, Johor. Masa saya tengah down tu, mereka tarik saya untuk sertai mereka. Ibaratnya macam Allah yang hantarkan bantuan pada saya.
“Alhamdulillah ketika bersama mereka, saya menerima ujian berat itu. Ini semua urusan Allah,” jelas Radhi kepada Gempak.
Radhi berkata demikian ketika majlis sidang media media pelancaran single terbaru dan konsert jelajah OAG yang berlangsung di Eve Suite, Ara Damansara baru-baru ini.
Tambah Radhi lagi, sebagai manusia biasa dia tidak lari daripada merasa sedih dengan segala cabaran yang dihadapinya.
“Memanglah sedih, tipu la tak sedih. Kita manusia biasa. Tambah sekarang saya nak mendapatkan hak penjagaan anak. Bila dapat anak balik nanti, saya yakin perkara itu akan banyak membantu saya,” ulas Radhi lagi.
Radhi dan Ayu mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 dan dikurniakan dua anak, Nur Aisyah, 5, dan Muhammad, 4.
Sebelum ini, Radhi pernah berkahwin dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 sebelum berpisah pada 8 Jun 2010.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan anak lelaki, Muhammad Rifdi Muslim yang kini berusia 15 tahun.
Must-Watch Video