HIBURAN
Bergelar Pak Haji, Ivan Gunawan Tak Mahu Terlibat Riba, Tutup Kad Kredit
Hos dan pereka busana terkenal Indonesia, Ivan Gunawan rasmi bergelar ‘pak haji’ selepas selamat menunaikan rukun Islam kelima itu pada musim haji tahun ini.
Salah satu perkara yang cuba diperbaiki Ivan selepas bergelar haji adalah tidak berhutang serta tidak terlibat dengan riba.
Justeru, Ivan mendedahkan telah melunaskan semua hutang serta menutup kad kreditnya sebelum berangkat menunaikan haji.
"Alhamdulillah, sebelum berangkat menunaikan haji saya sudah lunaskan semua hutang termasuk semua pekerja sudah mendapat bayaran masing-masing.
“Saya juga bukan hanya bayar hutang tetapi menutup kad kredit. Saya mahu belajar hidup tanpa riba,” tulisnya di akaun Instagram seperti dilaporkan CNA.
Menurut Ivan, keputusan itu diambil dengan niat untuk memperdalam dan memperbaiki hubungannya dengan Allah.
“Alhamdulillah selepas balik haji saya juga senang hati kerana sudah tidak ada hutang termasuk dengan kad kredit,” katanya ringkas.
Selain melunaskan hutang dan tidak mahu hidup tanpa riba, lelaki berusia 43 tahun itu berazam dapat menunaikan solat lima waktu sebagai sebuah kewajipan bukan hanya rutin hidup.
“Saya akan jaga solat bukan kerana sudah naik haji tapi solat sebagai kewajipan hidup,” katanya lagi.
Must-Watch Video