HIBURAN
Beri Kerjasama Penuh Kepada Polis, Zehra Zambri Enggan Ulas Dakwaan Keganasan Rumah Tangga - "Buat Masa Sekarang Ni..."
Penyanyi Zehra Zambri enggan mengulas isu mengenai laporan siasatan keganasan rumah tangganya bersama suami, Nur Mohd Iqwan Samsudin.
Menurut Zehra, dia memilih untuk tidak membuat sebarang kenyataan kepada umum berhubung kes tersebut bagi menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Saya tidak boleh memberikan sebarang kenyataan buat masa sekarang ini, tapi saya juga sudah berikan kerjasama yang sepenuhnya,” katanya kepada Gempak.
Zehra berkata demikian ketika ditemui di sidang media Konsert Tradisional 'Simfoni Budaya II' di Dewam Filharmonik Petronas (DFP) yang diadakan di Hotel Traders, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, penyanyi yang berusia 38 tahun itu turut menegaskan dia percaya sepenuhnya kepada proses siasatan pihak berkuasa dan menyerahkan segala urusan kepada polis untuk menjalankan tugas mereka secara profesional dan adil.
“Saya juga yakin dan meletakkan kepercayaan sepenuhnya pada siasatan polis. Kita tengoklah macam mana nanti,” jelasnya.
Walaupun berdepan dengan ujian rumah tangga yang mencabar, pelantun lagu Semalakama itu memberitahu keadaan dirinya kini berada dalam keadaan baik dan kekal tenang dalam menghadapi dugaan yang berat.
“Buat masa sekarang ini saya memang okay sahaja. Tiada sebarang masalah tentang siasatan itu,” katanya.
Sebelum ini, suami kepada Zehra Zambri iaitu Nur Mohd Iqwan Samsudin mendedahkan kes keganasan rumah tangga melibatkan dirinya dan isteri telah dibuka semula oleh pihak polis.
Katanya, siasatan itu telah dijalankan semula dan memanggil Zehra untuk memberi keterangan mengenai isu keganasaan rumah tangganya.
Untuk rekod, Zehra mendirikan rumah tangga dengan Iqwan pada 10 November 2021. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zahiyah Iqleela yang kini berusia dua tahun setengah.
Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri pada 14 Oktober 2017, namun ikatan itu hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018.
Iqwan juga pernah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata.