HIBURAN
"Sudah Dua Minggu Saya Dan Suami Tidak Tinggal Sebumbung, Dia Dah Ambil Semua Barang ..." - Zehra Zambri
Penyanyi, Zehra Zambri mendedahkan dia sudah lagi tidak tinggal sebumbung bersama suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin hampir dua minggu.
Hampir dua minggu tak tinggal sebumbung
Jelas Zehra, dia sudah meninggalkan rumah kelamin sejak suaminya mengeluarkan kenyataan di media sosial yang mengundang fitnah terhadapnya.Zehra berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bangi pada Rabu pagi bagi proses pelantikan wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP).“Sudah dua minggu kami tidak tinggal sebumbung, sekarang saya duduk di rumah keluarga sejak kenyataan yang dia buat hari itu,” katanya kepada Gempak.
Bagaimanapun, pelantun lagu Malam Yang Ganjil itu melantik bapanya, Zambri Ahmad sebagai wakil JKP.
Dalam pada itu, bekas peserta Gegar Vaganza 11 berkata suaminya juga sudah mengambil semua barang peribadi dan meninggalkan rumah kelamin mereka sejak minggu lalu.
“Kemudian minggu lepas dia sudah ambil semua barang-barang di rumah dan keluar dari kediaman kami,” jelasnya.
Apabila ditanya mengenai hubungannya dengan suami, Zehra hanya menjawab mereka hanya berhubung untuk soal anak sahaja.
“Kami berhubung hanya tentang anak. Kalau dia cakap rindu anak, dia akan datang dan saya izinkan berjumpa.
“Macam semalam (Selasa) pun tiba-tiba dia kata rindu anak. Kerana hubungan bapa dan anak tidak akan putus sampai bila-bila. Untuk seterusnya saya akan memperincikan tentang hadanah,” kongsinya.
Pada masa sama, penyanyi itu berkata, dia nekad untuk meneruskan perceraian dan mengakui sudah bersedia jika dilepaskan hari ini.
Pada 10 April lalu, Iqwan enggan melepaskan Zehra dan mahkamah memutuskan kedua-dua pihak untuk melantik wakil bagi proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Iqwan turut mendakwa dia menjadi mangsa penderaan isterinya dan dipukul sebanyak empat kali sepanjang tempoh perkahwinan.
Untuk rekod, Zehra mendirikan rumah tangga dengan Iqwan pada 10 November 2021. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zahiyah Iqleela yang kini berusia dua tahun setengah.
Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri pada 14 Oktober 2017, namun ikatan itu hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018.
Iqwan juga pernah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata.
Must-Watch Video