Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan bersedia untuk memperluaskan kelayakan pencarum bagi pengeluaran wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perkara itu bagaimanapun kata Zafrul masih dalam peringkat perbincangan dengan semua pihak terlibat.

"Kami masih lagi berunding dan proses perbincangan bersama KWSP masih berjalan untuk kita perluaskan dengan mengambil kira keresahan rakyat.

"Jadi selepas rundingan itu selesai, kita perlu tunggu dalam beberapa hari lagi untuk saya serta KWSP umumkan berhubung usaha memperluaskan kepada lebih 600,000 rakyat menerima faedah ini.

"Kita juga akan jelaskan kenapa kita buat demikian," katanya dalam sidang media di Wisma Bernama pada Sabtu.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021, Tengku Zafrul mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 bagi tempoh 12 bulan bagi meringankan beban kewangan ahli-ahli yang terjejas.

Sebelum ini, KWSP telahpun memperkenalkan kemudahan pengeluaran i-Lestari pada April yang membenarkan ahli membuat pengeluaran sebanyak RM500 sebulan selama tempoh 12 bulan dengan jumlah keseluruhan sehingga RM6,000.

Skim itu telah memanfaatkan kira-kira 4.7 juta ahli dengan nilai RM11.6 bilion.

Kredit Foto: iProperty

Sumber: Awani