Pendakwah bebas, Ustaz Abu Syafiq meluahkan rasa syukur atas kemenangan kes fitnah terhadapnya selepas lebih dua tahun perbicaraan berlangsung.

Menerusi hantaran di Instagramnya, Abu Syafiq dimaklumkan khabar tentang kemenangan kesnya usai menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah.

"Saya menang saman, Alhamdulillah. Hari ini 11 Januari 2022, Selasa, selesai sahaja saya menunaikan ibadah umrah, peguam saya yang hebat dari firma guaman @hafidzahhassan telah memaklumkan keputusan mahkamah kes saman saya terhadap pemfitnah bahawa saya telah menang dan pemfitnah yang kalah perlu mohon maaf secara terbuka dan bayar ganti rugi kepada saya.

"Tak sangka berita gembira ini saya dapat ketika saya berada di Kaabah Masjid Haram di Makkah.

"Buat pemfitnah dan pemimpin-pemimpin yang zalim, segeralah bertaubat sebelum terlambat," katanya.



Sementara itu, menerusi siaran media yang dikirimkan oleh firma pengurusan krisis Saiful Ridzuan kepada Gempak, Mahkamah Sesyen Kuantan mengarahkan defendan bernama Hamidah Rapaee yang telah memfitnah plaintif di laman media sosial Facebook dan melalui penyiaran video yang telah dimuatnaik di YouTube membayar pampasan RM100,000 dan ganti rugi teladan sebanyak RM20,000 kepada Abu Syafiq.

Abu Syafiq diwakili oleh peguam Nurul Hafidzah Hassan, Zeti Zulkifli dan Datuk Wan Azmir Wan Majid dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors.

Nurul Hafidzah berkata, mahkamah memerintahkan Hamidah Rapaee membayar pampasan dan ganti rugi tersebut serta-merta. Kos adalah untuk ditaksirkan oleh mahkamah.

"Mahkamah juga memerintahkan defendan menulis dan menyiarkan permohonan maaf kepada plaintif, Ustaz Abu Syafiq di laman Facebook dan Youtube milik defendan.

"Satu injunksi menegah defendan daripada menerbitkan kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif pada masa hadapan juga telah diperintahkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen," kata Nurul Hafidzah.

Keputusan kes saman sivil tersebut merupakan bukti kukuh yang mahkamah bersetuju dengan hujahan-hujahan peguam Abu Syafiq yang laman Facebook beliau telah digodam dan beliau tidak pernah mengkafirkan seorang pendakwah bebas iaitu Ustaz Ebit Lew.

BACA: "Itu Fitnah Jahat Ke Atas Saya" - Ustaz Abu Syafiq Tak Hina Ustaz Ebit Lew

Ini kerana terdapat sorotan skrin yang telah disebarkan yang kononnya terdapat satu komen mengenai isu tersebut dibuat oleh Abu Syafiq tetapi beliau tidak pernah mengeluarkan komen tersebut melalui laman Facebook atau mana-mana akaun media sosial beliau.

Hamidah Rapaee telah disaman oleh Abu Syafiq pada bulan Jun tahun 2020 setelah difitnah oleh defendan tersebut melalui kenyataan-kenyataan beliau di laman media sosial dan melalui penyiaran video di Youtube.

Saman sivil tersebut terpaksa diambil oleh Abu Syafiq bagi membersihkan namanya setelah percubaan beliau untuk menyelesaikan krisis tersebut secara baik tanpa melibatkan proses mahkamah gagal apabila defendan enggan memadam fitnah yang telah dimuatnaik di akaun media sosial beliau dan enggan meminta maaf.

"Jelas di sini yang plaintif, Ustaz Abu Syafiq tidak pernah memfitnah mana-mana pihak dan kesemua tuduhan dan dakwaan ke atas beliau adalah fitnah," kata Nurul Hafidzah lagi.

Pada bulan Jun tahun lepas, Abu Syafiq berjaya mendapatkan maklumat daripada Facebook. Syarikat konglomerat teknologi tersebut telah memberikan maklumat penting mengenai asal-usul komen di Facebook yang menggunakan nama beliau.

Antara maklumat penting yang diperoleh Abu Syafiq termasuk e-mel dan maklumat berkaitan mengenai dua akaun palsu yang telah digunakan di Facebook dengan tujuan untuk menyamar dan mengejek plaintif termasuk membuat kenyataan berbaur fitnah dan memberi gambaran bahawa semua kenyataan tersebut dimuatnaik oleh beliau.

Abu Syafiq juga menyaman pengacara televisyen Amin Idris sebanyak RM1 juta pada tahun 2020 kerana mendakwa telah difitnah oleh defendan tersebut di laman media sosial. Perbicaraan kes yang seterusnya terhadap Amin Idris akan bersambung pada 30 Januari ini.