Sepasang pasangan dari Cina telah menerima balasan akibat perbuatan tidak berperi kemanusian mereka dengan hukuman mati yang dijatuhkan mahkamah pada Disember 2021.

Berita Zhang Bo dan kekasihnya, Ye Chengchen selamat menjalani hukuman mati ‘disambut baik’ oleh masyarakat yang mengikuti kes jenayah kejam mereka sejak tahun 2020.

Mengikut kronologi kes, Bo merupakan seorang bapa telah membuang dua orang anak hasil perkahwinan terdahulu dari tingkat 15 selepas teman wanitanya, Chengchen berasa kehadiran kanak-kanak tersebut sebagai beban.

Menurut laporan Dailymail, Chengchen tidak tahu lelaki yang dikenalinya itu sudah berkahwin dan mempunyai anak. Dia juga menolak lamaran Bo kerana dua anak tersebut.

Oleh kerana tidak mahu kekasih meninggalnya, Bo sanggup ‘melenyapkan’ dua anaknya dengan cara membunuh mereka.

Zhang Ruixue, 2, maut di tempat kejadian manakala adiknya, Zhang Yangrui, 1, meninggal dunia kerana cedera parah.

Lebih menyayat hati, kedua-dua anak malang itu dilaporkan sedang bermain di dalam rumah sebelum Bo membuang mereka daripada tingkat 15 kediaman mereka.

Bo kemudian berlakon dengan bergegas berlari ke bawah bangunan dan menangis histeria sambil menghantukkan kepalanya ke dinding kerana berasa cuai sehingga kedua-duanya anaknya terjatuh dari balkoni kediaman mereka.

Lakonan Bo bagaimanapun gagal selepas bekas isterinya mendedahkan lelaki itu sebenarnya sedang bercakap di telefon dengan kekasih yang mengugut akan mencederakan diri.

Tidak mahu kejadian buruk berlaku kepada kekasihnya, Bo terus mengambil dua anaknya dan mencampakkan mereka daripada tingkat 15.

“Bo sedang melakukan panggilan video bersama kekasihnya sebelum wanita itu menggelar pergelangan tangan.

“Dia takut, menjatuhkan telefonnya dan mengambil dua anak kami sebelum membuang mereka daripada balkoni,” ujar mantan isteri Bo.

Media tempatan melaporkan Bo mengakui telah merancang pembunuhan dua anaknya dengan Chengchen demi memulakan kehidupan baharu.