Aktres berbakat, Siti Saleha menampilkan sisi berbeza menerusi lakonannya dalam drama bersiri terbaru berjudul Scammer.

Menurut Saleha, karakter bernama Amy dalam drama tersebut bukan memaparkan perwatakan ayu dan lemah lembut sebagaimana yang biasa dilihat penonton.

Hakikatnya, ia merupakan watak antagonis seorang peguam yang terlibat dalam kegiatan penipuan wang atau scammer.

Justeru, bagi menjayakan watak itu, banyak usaha yang dilakukan Saleha termasuk memakai kuku palsu, bersolek tebal dan menggayakan rambut kepuk.

"Watak Amy dalam drama ini memang berbeza dengan watak-watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini, saya memang perlu 'bersiap' lebih untuknya.

"Memang memakan masa yang lama, saya harus memakai solekan tebal dan pakai kuku palsu, rambut pun berkepuk-kepuk," katanya.

Saleha, 31, berkongsi mengenai lakonannya dalam Scammer menerusi sidang media yang diadakan secara virtual semalam.

Dalam pada itu, Saleha juga berharap agar penonton dapat membuka mata tentang kebarangkalian ditipu oleh pihak tak bertanggungjawab menerusi drama tersebut.

"Saya harap, dengan menonton drama ini, penonton dapat buka mata tentang kebarangkalian ditipu oleh scammer.

"Itulah antara mesej dan tujuan drama ini, bukan untuk ajar orang menipu untuk mendapatkan wang, sebaliknya, penonton boleh sedar dan lebih berhati-hati selepas ini," katanya lagi.

Selain Saleha, Scammer turut menampilkan barisan pelakon hebat lain antaranya Fasha Sandha, Kamal Adli, Arash Mohamad, Didie Alias dan ramai lagi.

Untuk makluman, Scammer diarahkan oleh Norhanisham Muhammad yang merupakan penulis untuk drama bersiri popular The Maid sebelum ini.

Drama 20 episod yang mula menemui penonton semalam ini ditayangkan pada setiap Isnin hingga Khamis, 11 malam di Astro Ria.