Peneraju pertunjukan gaya hidup alternatif dan juga indie, Art Of Speed Malaysia (AOSM) bersama pengeluar produk peranti elektronik Bro Asia menjalin kolaborasi menganjurkan festival muzik Soundcircus Weekender yang paling dinantikan ramai.

Bakal berlangsung pada 4 dan 5 Mac depan, festival ini akan menghimpunkan nama-nama besar pengkarya muzik tempatan dan luar dalam acara SoundCircus Weekender bertempat di REXKL, Kuala Lumpur.


Menurut pengarah festival, Asep Ahmad Iskandar, buat pertama kalinya mereka menganjurkan festival muzik selama dua hari berturut-turut dengan membariskan pemuzik terbaik.

“Istimewa tahun ini, buat pertama kalinya festival muzik bergenre indie rock diadakan di lokasi istimewa iaitu REXKL dan digelar ‘SoundCircus Weekender’ selama dua hari berturut-turut pada hujung minggu.

“Pemilihan band adalah berdasarkan suara kolektif komuniti yang telah disenaraikan pendekkan oleh mereka yang peka dengan perkembangan muzik semasa.

“Kami menjangkakan pengunjung yang bakal hadir rata-ratanya terdiri daripada peminat muzik indie sehingga hip-hop berumur di antara 18 sehingga 40 tahun.

“Selain itu ‘Battle of The Bands’ turut diadakan pada sebelah siangnya yang akan disertai lebih kurang 10 buah kugiran muzik baharu yang bergenre indie, rock dan reggae dengan jumlah lebih 30 artis serta kugiran yang bakal menghiburkan pengunjung.

“Kami berharap agar acara muzik ini menjadi pilihan utama peminat muzik yang ingin berhibur di lokasi strategik iaitu di tengah-tengah ibukota Kuala Lumpur.

“Semoga pengunjung akan pulang terhibur oleh acara SoundCircus Weekender dengan memori yang indah,” jelasnya.

Sementara itu,pengasas dan ketua pegawai eksekutif Bro Asia, Roman Lai berkata pihaknya berbesar hati menerima tawaran daripada AOSM untuk bersama-sama menjayakan acara khas buat penggiat muzik ‘underground’.

“Kami sangat berbangga dan teruja menerima pelawaan AOSM untuk bersama-sama menjayakan acara Sound Circus Weekender yang gah ini.

“Kolaborasi ini sangat tepat dengan hala tuju jenama kami yang baharu dan bersesuaian dengan peminat AOSM,” katanya.

Antara pemuzik yang bakal beraksi adalah Sweetass, Bunkface, Noh Salleh & Restoe Iboe Band, Iqbal M, Flop Poppy, A.C.A.B, Grey Sky Morning, Naratu, Budak Nakal Hujung Simpang, Jemson, Mergasatwa, Impatient Sisters, Republic Of Brickfields, Asyrfnsir, Yonny Boi, Kmy Kmo dan Lucka Sickta.

Selain penghibur tempatan, festival berkenaan turut membawa masuk pemuzik Indonesia yang menyertai acara Soundcircus Weekender iaitu The Sigit dan Mooner.

Bagi mereka yang berminat untuk menyaksikan acara SoundCircus Weekender, tiket 2-hari serendah RM158 masih ada dijual, sila layari https://scf.artofspeedmy.com/ untuk pembelian.

Terdahulu, acara SoundCircus Weekender merupakan medan pengumpulan pengkarya muzik dari dalam mahupun luar negara dengan menghidangkan citarasa muzik segar masa kini demi memuaskan halwa telinga peminat dan pengikut acara ini.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.