Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Beto Kusyairy Cerita Detik Cemas Dihimpap Motosikal 400 Kilogram!

Amri Hassan
23/11/2023 02:50 MYT
Pelakon Beto Kusyairy kini semakin beransur pulih selepas terbabit dalam kemalangan motosikal berkuasa tinggi ketika menyertai Solidariti Wings Motogang Society ke Masjid Negeri Ipoh, Perak pada 13 November lalu.

BERITA TRENDING: Berkonvoi Solidariti Wings, Beto Kusyairy Kemalangan

Kongsi Beto, dia hanya mengalami cedera ringan akibat daripada kejadian yang berlaku di Kilometer 349 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara berhampiran Ladang Bikam itu.

"Saya dimaklumkan dia mengalami kecederaan parah dan tidak sedarkan diri hampir seminggu. Namun, semalam dia sudah buka mata dan boleh duduk. Alhamdulillah.

"Saya pula tidak mengalami sebarang kecederaan teruk walaupun pada mulanya saya mensyaki ada bahagian anggota badan yang patah, tapi selepas menjalani ujian imbasan x-ray semuanya baik-baik saja. Cuma mengalami lebam di bahagian kiri badan," katanya kepada Gempak.

Beto ditemui di majlis tayangan perdana filem MagiK di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa lalu turut memaklumkan seorang lagi peserta konvoi yang dilaporkan kritikal sudah sedarkan diri.

Cerita Beto lagi, ketika kejadian, dia cuba mengelak motosikal seorang peserta konvoi berkenaan, namun malangnya dia gagal mengawal motosikal dan merempuh motosikal terbabit.

PILIHAN PEMBACA: “Sepatutnya Saya Juga Ikut Konvoi Itu” - Zahiril Syukur Beto Kusyairy Dalam Keadaan Baik

Dalam pada itu, Beto yang tidak serik untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Harley Davidson Road Glide miliknya itu berkata, dia hanya memberitahu isterinya mengenai kejadian itu selepas doktor mengesahkan tiada kecederaan serius.

"Waktu kejadian isteri saya baru saja tiba di Geneva, Switzerland atas urusan kerja. Dia beritahu pada waktu itu dia tidak sedap hati sehinggakan dia duduk di hentian bas selama dua jam dan termenung seorang diri dalam keadaan jantungnya berdegup laju.

"Masa itu saya memang tak beritahu dia sebab nak pastikan saya tiada apa-apa. Selepas saya maklumkan saja, dia terus nak balik Malaysia, tapi saya tenangkan dia dan beritahu saya okey.

"Pada awalnya saya agak bimbang dan takut jika berita ini sampai lebih awal daripada saya. Tapi Alhamdulillah saya dah yakinkan dia, saya baik-baik saja.

"Cuma ketika saya hubungi dia bimbang jika saya mengalami kecederaan di bahagian kepala. Mujurlah saya tergerak hati nak pakai topi keledar jenis bertutup penuh," katanya.

#Awie #Wings #Kemalangan #Perak #Ipoh #Beto Kusyairy #Motosikal #Soladiriti
;