Laman Utama
Berkonvoi Solidariti Wings, Beto Kusyairy Kemalangan
Pelakon, Beto Kusyairy dilaporkan terlibat dalam kemalangan ketika menyertai konvoi Solidariti Wings Motogang Society ke Masjid Negeri Ipoh, Perak sekitar jam 5 petang semalam.
Dalam kejadian yang berlaku di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Ladang Bikam, jentera yang ditunggang Beto terjatuh selepas bergesel dengan motosikal lain yang memasuki laluannya secara tiba-tiba.
Insiden tersebut dikongsi pengurus vokalis Wings Datuk Awie, Shahrul Nizan Ramli yang memaklumkan dua peserta konvoi, termasuk Beto kini dirawat di Hospital Tapah.
Menurut Shahrul, Beto hanya mengalami luka-luka ringan, manakala seorang lagi berdepan kecederaan agak teruk dan kedua-dua mereka masih ditempatkan dalam wad.
“Seramai 60 peserta Solidariti Wings Motogang Society yang diketuai Awie bergerak dari Kuala Lumpur menuju Ipoh sekitar pukul 4 petang semalam (Isnin).
“Mungkin keadaan jalan yang agak licin akibat hujan lebat sepanjang perjalanan antara faktor yang mengakibatkan kemalangan.
“Setakat ini kami difahamkan kedua-dua mereka okey dan menerima rawatan di Hospital Tapah,” katanya seperti yang dilapor Kosmo! Online.
Menurut Shahrul lagi, selepas dibawa ambulan ke hospital, Awie bersama peserta konvoi lain meneruskan perjalanan ke Ipoh bagi menghadiri majlis doa selamat dan sembahyang hajat di sebuah masjid di bandar berkenaan.
Konvoi serta majlis berkenaan adalah sebahagian daripada usaha menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin yang berdepan kekejaman Zionis.
Selepas selesai majlis dan solat hajat sekitar pukul 10 malam tadi, Awie bersama beberapa ahli konvoi lain singgah ke hospital melawat Beto dan seorang lagi komuniti motor Wings yang cedera.
“Kami harap semuanya baik-baik saja dan sebarang perkembangan akan kamj maklumkan nanti,” ulasnya.
Terdahulu, berita kemalangan itu dikongsikan oleh selebriti, Lando Zawawi menerusi satu hantaran Facebook miliknya.
Menerusi tangkap layar dalam perbualan Whatsapp yang dikongsi, difahamkan Beto telah dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans.
Sumber: Kosmo! Online
Must-Watch Video