Berita
"Bila Anak Demam Masa Musim Penyakit Ni, Hati Ibu Mana Yang Tak Resah Kan" - Tasha Manshahar Panik Bila Anak Tak Sihat
Penyanyi Tasha Manshahar mengakui berasa bimbang apabila anaknya, Muammar Rafiqi tiba-tiba mengalami demam ketika musim penularan wabak Covid-19.
Bagaimanapun, katanya, dia mula lega apabila panas badan anaknya yang baru berusia 10 bulan itu mula surut petang semalam.
"Muammar demam sebenarnya semalam (kelmarin). Tapi syukur Alhamdulillah dah kebah petang tadi (semalam). Lega sangat, terima kasih Allah. Kali ini, mommy tak sepanik masa kali pertama Muammar demam dulu sewaktu dia lima bulan. Ingat? Masa tu dia kena influenza, lagi kasihan lembik longlai,
"Kali ini demam tapi masih boleh bergurau, nak main. Cuma, bila anak demam masa musim penyakit ni, hati ibu mana yang tak resah kan," kongsinya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram malam tadi.
Dalam posting tersebut, Tasha turut berkongsi tips kepada pengikutnya mengenai tindakan yang boleh dilakukan apabila berdepan dengan masalah anak demam.
"Tapi macam biasalah terus minta nasihat Kak Long @kai_armd, dan Kak Long suruh pantau sahaja kalau ada simptom yang lain-lain selain demam. Syukur sangatlah kali ini sudah tahu apa yang kita boleh ikhtiar masa anak demam (swipe kiri untuk tips)," katanya.
Menurut pelantun lagu Ragu-Ragu itu, keadaan kesihatan Muammar kini juga sudah kembali pulih.
Tasha mendirikan rumah tangga dengan penyanyi nasyid, Raqib Majid pada 8 September 2018.
Pasangan itu kemudian menimang cahaya mata sulung, pada 21 Jun tahun lalu.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
Must-Watch Video