Sekilas
- Reena, penyanyi muda berusia 14 tahun, memilih ACX Music sebagai platform untuk mengembangkan kerjaya seni ke peringkat antarabangsa.
- Dia mula menyanyi sejak umur tujuh tahun dan pernah memenangi beberapa pertandingan nyanyian termasuk di Nanjing, China dan MCOPA.
- Reena mengutamakan lagu berbahasa Melayu tetapi sedang memperbaiki penguasaan bahasa Mandarin untuk menembusi pasaran muzik China.
Penyanyi baharu, Reena, 14, memasang impian besar untuk mengembangkan kerjaya seni ke peringkat antarabangsa apabila memilih untuk menyertai syarikat rakaman ACX Music sebagai platform mengasah bakat dan memperluas pengaruhnya dalam industri muzik.
Keputusan itu dibuat selepas Reena, yang mula menyanyi seawal usia tujuh tahun, melihat potensi besar yang ditawarkan syarikat berkenaan, khususnya menerusi penglibatan dalam bidang perfileman dan penerbitan runut bunyi.
Menurut Reena, dia tertarik dengan kelebihan ACX Music yang dilihat mampu memberikan pendedahan lebih luas berbanding peluang lain, sekali gus membuka ruang untuknya mengembangkan kerjaya dalam industri hiburan.
“Saya melihat ACX Music mempunyai banyak kelebihan, terutama dari segi filem, runut bunyi dan sebagainya.
“Sebab itu saya memilih mereka kerana saya percaya platform ini mampu memberikan pendedahan yang sangat luas untuk saya.
“Sebenarnya ada juga pihak lain yang pernah mendekati saya sebelum ini, tetapi selepasmempertimbangkan peluang yang ada, saya merasakan ACX Music adalah pilihan terbaik untuk perkembangan kerjaya saya,” katanya.
Tambah Reena lagi, tawaran daripada syarikat berkenaan diterima ketika berusia 13 tahun selepas dia meraih kemenangan dalam satu pertandingan nyanyian di Nanjing, China.
Biarpun masih muda, penyanyi itu bukanlah asing dalam arena pertandingan nyanyian apabila pernah menyertai pelbagai pertandingan, termasuk Malaysian Championship of Performing Arts (MCOPA).
Malah, Reena pernah meraih tempat pertama dalam pertandingan berkenaan, namun memilih untuk menyertai Bintang Kecil RTM apabila kedua-dua pertandingan berlangsung pada tahun sama.
Mengulas mengenai penguasaan bahasa, Reena berkata, bahasa Melayu kekal sebagai bahasa utamanya, namun dia kini giat memperkemas penguasaan bahasa Mandarin bagi membuka lebih banyak peluang untuk menembusi pasaran muzik China.
“Bahasa Melayu ialah bahasa ibunda saya, jadi sudah tentu saya lebih cenderung kepada lagu Melayu.
“Bagaimanapun, saya sedang belajar bahasa Mandarin dan berusaha menguasainya dengan lebih baik supaya mempunyai peluang lebih luas untuk berkarya dan mendapat pendedahan di China.
“Saya bersekolah di sekolah Cina dari Tahun Satu hingga Tahun Empat sebelum bertukar ke sekolah kebangsaan bermula Tahun Lima.
“Sekarang saya masih mengikuti kelas tambahan bahasa Mandarin kerana mahu memperbaiki pertuturan dan penguasaan bahasa itu,” jelasnya.