Hiburan

Bila Badrul Bicara: ...Dan Berakhirlah Sebuah Drama Kehidupan Yang Panjang

gempak
Badrul Hashim
17/05/2019
04:00 MYT
Sponsor Banner
Bila Badrul Bicara: ...Dan Berakhirlah Sebuah Drama Kehidupan Yang Panjang
Bunyi tajuknya macam agak 'kejam' tetapi itulah yang sebenarnya berlaku sejak kes pertama Aliff Aziz dan adik kepada pelakon Anzalna Nasir, Afifah dahulu. Selepas satu demi satu demi satu, drama yang panjang ini pengakhirannya di mahkamah juga dengan talak satu.
Drama yang dipertontonkan secara langsung kepada semua di media-media sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter serta bersambung kongsi di WhatsApp Group, Telegram dan sebagainya. Google saja nama, pasti akan ada gambar mahupun cerita yang keluar.
Saya agak sebak juga melihat rakaman-rakaman video yang tersebar di media sosial ketika Aliff teresak-esak berbicara dengan bekas isterinya dan video beliau menangis memeluk bekas mertuanya di luar mahkamah. Maklumlah, dengan bekas isterinya Bella Astillah lah mereka sama-sama membina masjid, dikurniakan cahaya mata, tapi semua itu akan hanya tinggal kenangan umpama gambar-gambar di artikel ini.
Saya selalu bayangkan kalaulah lelaki-lelaki sebegini tiba-tiba teresak-esak atau menangis apabila melihat perempuan lain kerana teringatkan isteri dan anak-anak di rumah, merindui mereka dan ingin segera pulang. Mungkin rumah tangga lebih aman. Begitu juga sebaliknya.
Namun nasi sudah jadi bubur, mahligai yang dibina juga sudah ranap dek kehendak peribadi yang lebih membuak-buak daripada kehidupan bahagia bersama isteri dan anak. Dan untuk sementara waktu, kita semua akan menjadi penilai tentang kehidupan mereka.
Tapi kenapa kita yang hendak menilai? Soalan cliche yang selalu ditanya. Kerana kita adalah manusia biasa yang kadangkala tidak mampu untuk menahan diri daripada meluahkan pendapat dan rasa peribadi kita. Saya pernah katakan, apabila perkara-perkara sebegini di bawa ke 'mahkamah manusia', dan kita semua adalah juri-jurinya, maka pastinya hukuman itu kita juga yang akan jatuhkan.
Terlalu taksub untuk menjatuhkan hukuman sehinggakan segala manusia yang bernama Aliff pun turut menjadi mangsa melepaskan yang terpendam. Tak mengapalah, kita leraikanlah apa yang telah berlaku seperti mana mereka meleraikan ikatan perkahwinan mereka.
Kita doakan yang terbaik untuk mereka. Mungkin bukan hanya untuk mereka, tetapi untuk kita juga. Kuasa Tuhan tidak terjangka. Mana tahu suatu hari nanti mereka kembali bersama. Mana tahu jika manusia ingin berubah, Tuhan akan makbulkan keinginan dan kemahuan mereka. Insya-Allah, segala yang baik itu datangnya dari Allah swt.
Salam Jumaat dan jumpa lagi!
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Instagram
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024