‘Kehilangan’ Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah daripada media sosial Twitter baginda @cheminahsayang membuatkan ramai yang berasa kehilangan, termasuklah saya.

Benar sekali, saya antara rakyat yang sentiasa mengikuti perkongsian Tuanku Permaisuri Agong di Twitter. Ada perkongsian baginda yang membuat saya tersenyum, ketawa, berfikir, memahami dan mengenali, bukan setakat keluarga ketua negara Malaysia, tetapi juga tentang diri saya sendiri.

Saya sendiri tidak tahu kenapa Tuanku Permaisuri memilih untuk tidak mengaktifkan akaun Twitter baginda secara tiba-tiba. Ramai yang menuduh kebiadaban beberapa orang memboikot akaun baginda, tetapi perasaan saya berasakan lebih pada itu. Entahlah, mungkin ini hanya perasaan diri sendiri sahaja. Mungkin apa yang terjadi adalah ultimate nya. Mungkin kebiadaban yang sering berlaku setiap kali baginda berkongsi cerita berakhir dengan kebiadaban beberapa orang ini. Entahlah!

Tuanku Permaisuri sejak dari dulu lagi sentiasa berkongsi cerita di akaun Twitter baginda. Apa sahaja yang baginda rasa ingin dikongsi. Tidak kira sama ada daripada baginda sendiri atau baginda akan Retweet sesuatu perkara yang dianggap berguna - Hadith, terjemahan Al-Quran, malah cerita semasa yang dikongsi pengguna Twitter lainnya.

Namun setiap kali perkongsian baginda, pasti ada saja yang tidak punya adab meninggalkan komen yang tidak sepatutnya. Ada ketika Tuanku Permaisuri tidak membalas komen tersebut, tetapi ada ketika baginda akan membalas dengan sesuatu yang sangat positif membuatkan saya rasa sangat kagum.

Teringat ketika Tuanku Permaisuri Agong berkongsi satu masakan yang masih di dalam kuali. Dan tanpa rasa hormat, seorang pengguna Twitter memfokuskan kepada keadaan kuali yang digunakan Tuanku. Nak tahu apa yang dilakukan oleh Tuanku Permaisuri? Baginda berkongsi gambar kualinya itu.

Untuk segelintir orang, mungkin ianya kelakar, tetapi tidak kepada saya. Saya menitiskan air mata. Kerana perkongsian Tuanku Permaisuri itu menunjukkan bahawa baginda begitu sayangkan keluarganya. Baginda sendiri yang memasak untuk suami dan anak-anak tercinta. Kalau anda godek-godek di dapur emak anda, pasti anda akan temui kuali lama yang sering digunakan emak anda memasak untuk membesarkan anda. Itulah antara tanda pengorbanan seorang ibu dan seorang isteri.

Tuanku Permaisuri memupuk nilai-nilai kasih sayang suami isteri tanpa mengira darjat dan keturunan. Baginda menghargai setiap perkara yang dilakukan oleh warga Twitter untuk baginda walau sekecil mana sekalipun. Dan itu hanyalah yang kita nampak di alam maya, tetapi di belakang tabir, saya tahu dan saya pasti banyak lagi perkara yang dilakukan oleh Tuanku Permaisuri untuk anda semua.

Maaflah, mungkin bunyinya agak selfish, tetapi Tweet daripada Tuanku Permaisuri banyak membantu saya mengenali banyak benda, sama ada tentang keluarga diraja, tentang hidup saya sendiri, tentang perkara yang saya sendiri boleh lakukan untuk membantu orang lain. Tuanku Permaisuri mengurangi jarak antara kerabat diraja dan rakyat jelata, bercerita bahawa mereka juga insan yang punya kasih sayang, yang punya cerita di sebalik setiap perkara.

Allahu, terlalu banyak benda yang saya ingin tulis apa yang terbuku di hati, tetapi mungkin ianya terlalu peribadi untuk saya sendiri. Cuma apa yang saya boleh kongsikan sedikit adalah saya pengidap penyakit Anxiety. Perkongsian Tuanku Permaisuri di Twitter banyak membantu saya untuk mengurangkan apa yang saya alami. Twitter Tuanku antara yang saya cari setiap hari, yang banyak menenangkan diri.

Saya harap rajuk Tuanku Permaisuri tidak lama. Dalam sejarah hidup saya, ini kali pertama saya rasa jarak antara pemerintah negara dengan rakyat semakin rapat dan semakin kukuh. Tuanku Permaisuri adalah ‘pembina’ jambatan tersebut. Tuanku Permaisuri adalah penguat antara rakyat dan pemerintah. Dan saya pasti ramai yang merasakan kehilangan Tuanku Permaisuri.

Semoga rajuk Tuanku tidak lama, kerana kami mahu Permaisuri kami kembali berkongsi cerita. Ampun Tuanku. Daulat Tuanku.

Salam Jumaat, Selamat Menyambut Hari Malaysia dan jumpa lagi!

Bila Badrul Bicara

Kredit Gambar: Google

Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.