Hiburan

Bila Badrul Bicara: Pernah Digelar Nama Yang Sama, Seniman A.R. Badul Idola Saya Waktu Kecil

gempak
Badrul Hashim
22/02/2019
05:00 MYT
Sponsor Banner
Bila Badrul Bicara: Pernah Digelar Nama Yang Sama, Seniman A.R. Badul Idola Saya Waktu Kecil
Mereka yang masih muda mungkin tidak begitu mengenali seniman A.R. Badul ini. Namun pada saya dan keluarga, dia adalah seorang yang mampu membuatkan kami lupa seketika apa jua masalah yang kami hadapi.
Sejak kecil ayah saya sudah membawa saya menonton wayang. Cerita-cerita Melayu sama ada Allahyarham Tan Sri P.Ramlee atau sesiapa saja. Kadang-kadang ada juga cerita Hindustan. Tetapi yang selalu membuatkan kami ketawa adalah cerita seniman A.R. Badul.
Filem-filem lakonan atau arahan A.R. Badul yang menggunakan namanya sendiri sebagai tajuk seperti Panglima Badol, Si Badol, Tuan Badul pasti kami tonton sekeluarga. Salah satu cara melupakan seketika susah payah keluarga. Menonton wayang membawa kami keluar seketika dari kepompong masa tika itu.
Malah ketika di sekolah rendah, ada juga kawan-kawan yang mengusik menggelarkan saya dengan nama Badul, tetapi saya anggap itu satu pujian, bukan hinaan. Biarpun ada yang kelakarnya itu slapstik, tetapi kelakarnya menjadi. Itu yang saya ingat. Dan itu yang saya hargai.
A.R. Badul mungkin seniman lama, tetapi dia adalah pengikat kepada ingatan dan kenangan hidup saya pada suatu masa dahulu. Saya boleh ingat bau panggung wayang di Kuala Terengganu (sekarang sudah tidak wujud lagi) dan saya boleh terbayang gelak tawa ayah serta senyum simpul ibu.
Selepas pulang dari menonton wayang, ibu akan panaskan balik lauk pauk dan kami sekeluarga duduk semeja untuk makan dan bercerita kembali babak-babak kelakar dalam cerita yang kami tonton. Ahhhhh, kenangan sungguh!
Ketika di kolej pula, saya membaca berita di akhbar ada pelakon yang mengamuk ketika berlangsungnya Festival Filem Malaysia kerana seniman A.R. Badul menang Pelakon Terbaik dan Pengarah Terbaik melalui filem Oh Fatimah. Tak apalah, benda yang dah berlalu. Yang saya pasti, seniman A.R. Badul sememangnya layak!
Kembali kepada beberapa hari lalu apabila ramai dikejutkan dengan berita beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) akibat serangan jantung. Terkejut, mungkin kerana saya sendiri sudah lama tidak mengikuti perkembangan beliau. Malah ibu dan ayah saya turut bertanya jika saya tahu keadaan beliau.
Satu perkara yang ‘menarik’ perhatian saya adalah ketika kejadian serangan jantung berlaku. Menurut isteri beliau, A.R. Badul sedang menyiapkan skrip ketika dia megalami sakit dada dan berpeluh-peluh. Pada usia 70 tahun, beliau masih lagi bekerja dalam bidang yang dicintainya. Rasa hormat saya kepada seniman ini membara kembali.
Khabar terbaru daripada adik beliau, Adlin Aman Ramlie, abangnya A.R. Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramli, semakin pulih dan meminta kita semua mendoakan kesihatan abangnya itu.
Terlalu banyak sumbangan seniman A.R. Badul ini kepada industri seni tanah air. Terlalu besar! Mungkin dalam era ini, tidak ramai lagi yang mengingati beliau, tetapi pada saya beliau bukan hanya sekadar seniman tetapi A.R. Badul adalah seorang lagenda!
Jumpa Lagi!
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Instagram
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024