Hiburan
Bila Badrul Bicara: Selebriti Kongsi Gambar Mengerjakan Umrah, Positif Atau Negatif?
Kalau selalunya selebriti-selebriti tanah air berkongsi gambar melancong ke luar negara, tetapi kini sudah menjadi satu trend apabila mereka mula berkongsi gambar mengerjakan umrah.
Ada segelintir netizen yang menganggap ianya seperti riak, tapi saya berpendapat sebaliknya.
Kalau 10 atau 15 tahun dulu, kita mengerjakan umrah, mungkin tidak ada media sosial yang hendak dikongsikan. Tapi kita masih mengambil gambar kenangan di kota suci Mekah.
Peluang mengerjakan umrah bukan senang, malah dibuka hati untuk ke rumah Allah SWT adalah sesuatu yang sangat istimewa.
Pastinya kenangan itu mahu disimpan dan dikongsikan bersama keluarga serta teman-teman.
Lebih kurang 15 tahun dahulu saya juga berpeluang mengerjakan umrah. Satu kenangan yang saya tidak akan lupakan.
'Haji kecil' ini memberikan peluang untuk saya menziarah dan melakukan ibadah yang hampir sama dengan mengerjakan haji.
Banyak gambar-gambar kenangan yang dapat saya ambil tetapi ketika itu hanya menggunakan kamera biasa dan tiada media sosial untuk dikongsi.
Jadi semua gambar hanya tersimpan di dalam album, hinggalah ada aplikasi yang membolehkan saya menyimpan gambar-gambar tersebut di dalam komputer peribadi.
Pada saya, berkongsi gambar mengerjakan umrah meberikan peluang untuk para selebriti menjadi lebih 'real'.
Tidak ada pakaian terselak, tidak ada aurat terdedah, tidak ada makeup menebal di muka, dan tidak ada yang lebih istimewa dari menumpukan segalanya kepada beribadah.
Lihatlah dari sudut yang positif. Dengan segala doa walaupun hanya ditulis di ruangan komen media sosial, tetapi bila dibaca tetap menjadi doa.
Saya seronok melihat gambar-gambar selebriti kita mengerjakan umrah kerana membuatkan perasaan ingin ke sana membuak-buak.
Lebih menggembirakan apabila ramai selebriti yang ke kota suci Mekah pulang dalam diri yang lebih baik.
Riak itu bukan pada kita yang melihat tetapi di dalam diri mereka sendiri jika itu niat mereka. Sama juga dengan kita, tiada beza.
Husnuzon.
Sentiasalah berfikir yang baik-baik dan secara tidak langsung kita juga dapat membaiki diri kita supaya menjadi manusia yang lebih positif.
Jumpa lagi.
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Instagram
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Must-Watch Video