Tampil dengan jati diri tersendiri memperjuangkan irama tradisional, anak jati Melaka, Yasser Fikri antara peserta yang layak ke pusingan separuh akhir Suara Viral 2.0 yang diumumkan pada Rabu.

Yasser, 32, yang menyanyikan lagu Harapan Kecewa (Ahmad Jais) mendapat pujian juri pada pusingan suku akhir dengan keunikan suara yang mendayu-dayu.

Berkongsi semula perasaannya lolos ke peringkat separuh akhir minggu hadapan, Yasser berseloroh mengenai memek wajahnya ketika melantunkan lagu klasik itu.

"Maaf, saya bukan penyedih orangnya. Tapi bila tengok muka nyanyi lagu ni, menangis konon, jantan tak tahu malu.. Kahwin satu sen pun tak keluar, malah harta aku kau kebas.

"Terima kasih kepada yang sentiasa mendoakan saya. Subhanallah sampai ke separuh akhir ni pun saya dah syukur Ya Allah.

"Gigil lutut Allah yang tahu. Terima kasih semua, tahniah kawan-kawan yang berjaya juga. Yang tak berjaya mungkin bukan rezeki lagi. Kami akan buat yang terbaik," katanya menerusi hantaran di Instagram.

A post shared by Yasser Fikri Krianys (@fikriyasser)


Saksikan program nyanyian Suara Viral 2.0, bermula 17 Nov setiap Rabu jam 9.00 malam di Astro Prima atau boleh strim di aplikasi Astro Go / Ultrabox.

Dalam perkembangan lain, Yasser juga baru saja melancarkan lagu Senandung Anak Melaka demi menyahut cabaran rentak dan irama tradisional.

Lagu Senandung Anak Melaka telah dicipta oleh Fauzi Mohammad manakala lirik ditulis oleh Siso Kopratasa yang memilih tema pelancongan untuk mempromosikan Melaka.

Siso juga cuba untuk mengimbau kembali kegemilangan Melaka satu ketika dahulu sebagai Venice Timur yang sangat dikagumi oleh pedagang pedagang dari barat.

Liriknya juga banyak mengupas tentang keindahan dan kelebihan yang ada di Melaka, dari tempat riadah yang menarik, inap desa yang indah hinggalah makanan tradisi.

Yasser mula menyanyi pada tahun 2008 , dan kemudian banyak terlibat dalam nyanyian lagu Dondang Sayang serta membuat persembahan tradisional melayu bersama badan-badan budaya di dalam Malaysia , Korea Selatan , Indonesia dan Thailand.

Luncai Emas bertindak sebagai pengedar single ini secara jualan digital di platform streaming, Youtube dan iTunes.

Video klip Senandung Anak Melaka telah dilancarkan sejak 29 Oktober di saluran YouTube Luncai Emas dan platform digital lain.