Sebagai permulaan, aku nak minta maaf kalau ada bahasa yang aku gunakan dalam luahan aku ini akan mengguris hati ramai pihak. Yang ini aku pasti.

Tapi aku rasa sudah tiba masanya aku luahkan. Dan kalau aku tulis bertapis, sampai bilapun aku tak dapat curahkan apa yang aku rasa, dan ianya akan jadi hangat-hangat tahi ayam. Bila ada kes akan jadi panas, bila tiada akan sejuklah ia. Sorry ayam, aku racist terhadap kaum-kaum ayam!

#blackouttuesday adalah sokongan terhadap masyarakat kulit hitam yang sedang menghadapi keadaan yang teruk ketika ini di Amerika Syarikat. Aku pun turut buat di Instagram. Itu tanda sokongan aku!

Biarpun dari jauh, dan hanya di alam maya, aku nak bagitahu bahawa aku adalah penyokong dan sentiasa akan menyokong sama taraf di antara penduduk walaupun berlainan warna kulit atau kaum atau agama atau adat resam.

Aku jamin, orang akan kata, biarlah selesaikan masalah di Amerika dulu, baru kita cakap pasal negara kita. Tapi untuk aku, masalah perkauman ini ada di mana-mana dan kalau kita tak mulakan dengan diri kita, sampai bila-bila dia akan wujud.



Aku bukan pandai sangat nak bezakan perkauman dengan lainnya macam colourism, soal jantina, soal warna kulit walaupun sama kaum, jadi untuk aku memudahkan hidup aku, aku rangkumkan semuanya jadi perkara yang sama. Ya, aku agak bodoh dalam hal seperti ini, tapi aku terima kerana ianya memudahkan hidup aku.

Aku penat bila orang nak betulkan aku, oh itu bukan perkauman, itu perbezaan warna kulit. Oh tu bukan perkauman, tapi soal agama. Bagi aku, kalau kau ada sifat lebih bagus daripada kaum yang lain, tak kiralah dari segi apa sekalipun, itu adalah perkauman.



Korang sedar tak, kalau kau buat kelakar perkauman mengenai kaum kau sendiri, ramai yang tak anggap benda itu isu perkauman, tapi kalau kaum lain yang buat jenaka, terus semua terkam dan terjah sehingga orang tu macam nak tanam kepala dalam tanah.

Nah, sekarang tibalah masanya aku keluarkan bahasa-bahasa kasar. Aku tak akan letak xxxx untuk menutup perkataan yang aku nak tulis kerana kalau aku buat macam tu sekalipun, korang tetap akan faham.

Kalau aku cakap, 'Melayu ni memang malas', orang anggap benda itu sekadar cakap sebab aku Melayu, tetapi untuk aku benda itu juga bersifat perkauman walaupun terhadap kaum sendiri.



'Kau ni Cina tak mandi pagi' kata Ah Chong pada teman Cinanya. Aku tak faham bila sesama sendiri dianggap jenaka, tetapi kalau kaum lain yang cakap, terus dianggap perkauman. Pada aku, tak kiralah Ah Chong ke, Muthu Samy ke, Ahmad Ali ke yang cakap, benda tu memang bersifat perkauman.

'Cakap berbelit macam Indialah kau ni,' kata Muthu pada Rama. Hey! Sesama kaum sendiri pun bersifat perkauman? Itu bukan jenaka. Jauh sekali. Itu perkauman dan memalukan.

Kenapa aku bagi contoh begini? Kerana bila kau bercakap tentang kaum kau sendiri seperti ini di depan kaum lain, kau seolah-olah mengiyakannya. Tapi bila kaum lain cakap benda yang sama, kau melenting tak cukup tanah.

Kalau aku nak beri contoh lain lagi, sebenarnya sangat banyak. Ketika korang sedang membaca ayat ini pun, aku pasti ada benda yang kau tahu ianya bersifat perkauman terlintas di fikiran korang. Aku jamin!



Sebelum PKP dulu aku pernah keluar dengan seorang kawan ke shopping mall. Ketika itu cuti umum maka penuhlah shopping mall tersebut dengan rakyat Bangladesh yang bekerja di Malaysia.

Sambil menutup hidung, kawan aku berkata dengan kuat,"hish! Dorang ni memang tak reti nak mandi". Aku diam sambil turut sama mengerutkan hidung dan menahan nafas.

Kemudian kawan aku menyambung, "mamat bangla ni memang nak jimat air tak nak mandi ke? Atau memang kat negara dorang memang tak suka mandi?". Aku hanya menganggukkan sahaja dan secara tak langsung aku sendiri sudah masuk dalam kategori perkauman.

Nampak tak betapa senangnya kita untuk ada sifat perkauman di dalam diri kita? Semudah kita order makanan dengan Grab.

"Bawa kereta macam pelesit, ni mesti India atau Cina mabuk ni!" Berapa ramai yang selalu cakap macam ni? Tak payah mengaku untuk aku, mengaku untuk diri sendiri sahaja.

"Buruk perangailah. Anak kencing tepi jalan je. Ni mesti Cina datang dari tanah besar ni!" Yang tulis macam ni pun dah penuh di media sosial, apatah lagi yang mengata dan bercakap sesama sendiri.

Jadi apa point aku cakap semua ni? Apa tujuannya? Apa matlamatnya? Apa yang aku nak sampaikan?

Semuanya adalah dalam diri sendiri! Sifat perkauman itu. Kalau diri sendiri tidak memilih untuk menukarnya, tidak akan menjadi walaupun arahan yang dikeluarkan oleh pihak yang berkuasa. Sedangkan apa yang Tuhan perintahkan pun kau boleh langgar, inikan pula manusia biasa.



Sebab itu apabila ada pelawak atau stand-up comedian yang kata kalau buat dalam bentuk jenaka tidak mengapa aku sangat tidak bersetuju. Biar dalam apa jua bentuk estatik sama ada jenaka atau serius, perkauman tetap perkauman.

Lebih membahayakan apabila jenaka itu disampaikan pula dari mulut ke mulut oleh orang yang menontonnya dan dijadikan normal baru kehidupan. Lepas tu kau nak salahkan siapa?

Kita bukan maksum. Kita bukan manusia yang sempurna, tetapi kita sentiasa boleh memperbaiki diri ke arah kebaikan. Bukan sahaja untuk diri kita sendiri, tetapi anak cucu kita yang bakal mewarisi contoh dan tingkah laku yang kita tunjukkan kepada mereka.



Simple fact, nak baiki tentang perkauman? Mulakan dengan diri sendiri dahulu. Kalau kau mampu menahan diri daripada berkata-kata (walaupun di dalam hati) tentang kaum lain, itu tandanya kau sudah berjaya. Jika tidak, sila cuba lagi!

Jumpa lagi.

Bila Badrul Bicara

Kredit Gambar: Google

Nota: Gambar sekadar hiasan semata-mata.

Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.