Pengasas Microsoft, Bill Gates mengatakan situasi pandemik COVID-19 berkemungkinan bertambah buruk dalam tempoh masa empat hingga enam bulan akan datang.

Memetik laporan India Times, Gates mengatakan Institut Penilaian dan Sukatan Kesihatan (IHME) menjangkakan 200,000 lagi kematian berkemungkinan berlaku.

"Sedihnya, empat hingga lima bulan akan datang ini boleh menjadi paling teruk untuk pandemik COVID-19.

"IHME menunjukkan kematian sebanyak 200,000 lagi mungkin berlaku (di Amerika Syarikat), sekiranya kita ikut peraturan dari segi pemakaian pelitup muka dan tidak bergaul rapat dengan orang lain, kita mampu elak jumlah kematian yang besar itu," katanya dalam sebuah kenyataan.

Bercakap mengenai kesediaan untuk mendapatkan suntikan vaksin di hadapan khalayak ramai seperti yang ditawarkan secara suka rela oleh bekas presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama, Bill Clinton dan George Bush, beliau tidak menolak dan akan melakukan perkara sama.

"Saya akan melakukan perkara yang sama, apabila tiba giliran saya tidak akan mengelak. Saya akan mengambil vaksin tersebut," katanya lagi.

Difahamkan, Obama, Clinton dan Bush menawarkan untuk mengambil suntikan vaksin di hadapan kamera sekaligus ditunjukkan kepada khalayak. Ia bertujuan menambah keyakinan orang ramai bahawa vaksin COVID-19 adalah selamat.

Sumber : India Times
Kredit Foto : Time Magazine