Pengacara dan personaliti TV, Ahmad Fedtri Yahya tampil memperjelaskan pelbagai maksud perkataan 'bodoh' dalam konteks berbeza.

Menurut Fedtri, perkataan itu tidak terikat kepada maksud 'stupid' dalam Bahasa Inggeris semata-mata, malah lebih luas penggunaanya.

Hal itu dijelaskan menerusi sebuah entri di akaun Facebook miliknya.

Dalam entri berkenaan, Fedtri menyenaraikan maksud 'bodoh' dalam enam konteks seperti kegunaan dalam bentuk makian, membawa maksud tak memahami, tiada yang istimewa dan menjadi mangsa atau diperbudakkan.

Tambahnya, perkataan itu juga boleh digunakan dalam konteks merendah diri, tujuan bermanja dan macam-macam lagi.

"Bodoh bukan terjemahan ‘stupid’ Luas maknanya...

"Selamat berlapang dada dan kembali mengkaji kiasan dalam berbahasa," tulisnya.


Terdahulu, kenyataan pakar mata dan motivasi Datuk Prof Dr Muhaya dalam video viral Kenapa Wanita Lambat Dapat Jodoh mencetuskan kecaman pelbagai pihak baru-baru ini.

Bagaimanapun, Muhaya telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan menjelaskan tentang hal itu menerusi media sosial malam tadi.

BACA: Isu 'Buat Bodoh-Bodoh', Prof Muhaya Mohon Maaf Secara Terbuka