Pelakon dan pengarah terkenal, Puan Sri Tiara Jacquelina mendedahkan kriteria yang dicari untuk watak Gusti Putri dalam pementasan semula Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL2020) yang bakal menemui penonton pada Julai 2020.

Menurut Tiara, untuk mencari pelakon yang bersesuaian dengan watak popular, Gusti Putri itu bukanlah satu tugas yang mudah.

“Antara kriteria utama yang saya cari adalah, mereka mesti boleh menyanyi dan menari tarian jawa dengan yakin.

“Berlakon itu sudah pasti dan saya juga mahukan seseorang yang boleh bertutur dalam Bahasa Indonesia. Bahasa Jawa itu kita boleh belajar.

“Itu adalah dari segi luaran sahaja… Tapi yang paling penting jiwanya itu harus mempunyai jiwa seorang puteri dan itulah yang paling susah untuk dicari.

Manakala untuk lelaki pula, mereka mestilah boleh bersilat, menari tarian tradisional dan juga boleh menyanyi,” katanya kepada Gempak.

Tambah Tiara lagi, dia mengalu-alukan sesi ujibakat tersebut kepada semua pihak termasuklah selebriti.

“Tidak terhad, saya membuka sesi ujibakat itu kepada semua dan selebriti juga digalakkan untuk mengambil bahagian.

“Ini adalah peluang keemasan, saya harap ramai yang datang ujibakat nanti. Jangan malu dan jangan segan, kalau tidak bila lagi nak dapat berlakon jadi Gusti Putri dan juga Hang Tuah,” jelasnya.

SIAPA RINDUKAN PUTERI GUNUNG LEDANG ANGKAT TANGAN? Ha... ini pengumuman khas untuk mereka yang request berkali kali supaya restage balik.. Today, we announced the return of Puteri Gunung Ledang the Musical, in a refreshed, reimagined new staging, directed by me?. I hope that's happy news for fans of #PGLmusical who have been waiting for this day. July 2020, Istana Budaya ? #PGL2020

A post shared by Tiara Jacquelina (@tiarajacquelina) on


Tiara akan memaklumkan maklumat terkini mengenai sesi ujibakat Puteri Gunung Ledang The Musical menerusi platform media sosial Enfiniti di Instagram @enfinitimy.

BACA: Magis Kembali, Puteri Gunung Ledang The Musical Is Back! Tak Sabarnya!

Terdahulu, Puteri Gunung Ledang merupakan sebuah filem sejarah epik popular pada tahun 2004 yang diarahkan oleh Saw Teong Hin.

Selain Tiara, filem tersebut dibintangi oleh nama-nama besar antaranya Datuk M.Nasir, Adlin Aman Ramli, Sofea Jane dan Khir Rahman.

Ekoran daripada kejayaan filem tersebut, penerbit filem ini kemudiannya menerbitkan teater muzikal yang sama jalan ceritanya pada tahun 2006.