Hiburan
BTS Cipta Sejarah, Kalahkan Justin Bieber Dengan 300 Juta Undian Di Anugerah Billboard 2017
Kumpulan K-Pop popular BTS mencipta sejarah apabila berjaya mengalahkan penyanyi terkenal Justin Bieber di Anugerah Billboard 2017 dengan lebih 300 juta undian.
BTS atau juga dikenali sebagai Bangtan Boys merupakan satu-satunya artis Korea yang berjaya menggondol anugerah bagi kategori Top Social Artist.
Kemenangan itu sekaligus mengalahkan nama-nama hebat yang tercalon dalam kategori yang sama iaitu Selena Gomez, Shawn Mendez, Ariana Grande dan juga Justin Bieber.
BTS yang dianggotai tujuh anak muda berbakat, Rap Monster, Suga, J-Hope, Jin, Park Jimin, Kim Taehyung dan Jeon Jungkook telah menjadi tumpuan hangat di Hollywood kerana memecahkan rekod Justin Bieber yang menang selama enam tahun berturut-turut.
Menurut ketua kumpulan BTS, Rap Monster, dia berterima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong kerjaya mereka.
Selain itu, Rap Monster atau nama sebenarnya Kim Namjoon juga menyatakan rasa gembira diberi penghormatan untuk tercalon dalam katergori berkenaan di samping nama-nama besar Hollywood.
“Kami masih tidak percaya yang kami berada dipentas Anugerah Billboard 2017. Rasa sungguh terharu kerana diberi peluang untuk tercalon dalam kategori ini bersama barisan artis yang kami kagumi.
“Terima kasih kepada Billboard kerana memberi penghormatan dan peluang ini kepada kami. Untuk Army (peminat), terima kasih atas usaha anda semua,” katanya ketika berucap.
Anugerah Billboard 2017 bersiaran secara langsung bertempat di T-Mobile Arena, Las Vegas, hari ini.
Terdahulu, BTS merupakan kumpulan K-Pop pertama yang berjaya merangkul anugerah Billboard 2017 untuk kategori tersebut.
Manakala penyanyi Korea, Psy merupakan artis korea pertama yang memenangi anugerah Top Streaming Song menerusi lagu viralnya, Gangnam Style pada tahun 2013.
Teks oleh: Mya Amri
Must-Watch Video