Penyanyi Aizat Amdan menyifatkan sebagai penghormatan besar buatnya kerana diberi peluang untuk menjadi pembuka tirai konsert penyanyi antarabangsa, Jason Mraz.

Menurut Aizat dia berasa bersyukur kerana diberi peluang untuk berkongsi pentas yang sama dengan pemenang Grammy yang pernah menjadi fenomena pop global menerusi hits klasiknya 'I'm Yours'.

"Saya berasa amat bersyukur diberikan peluang ini.

"Dipilih untuk membuat persembahan pembukaan dan memanaskan pentas untuk salah satu penyanyi dan komposer berbakat di dunia merupakan satu kejayaan peribadi saya.

"Saya teruja untuk bertemu dengannya secara dekat dan berkongsi pandangan tentang muzik," katanya.

Tambah pelantun lagu Angin Lalu ini dia berharap suatu hari nanti dapat bekerjasama dengan Jason Mraz.

"Saya berharap agar kami boleh bekerjasama di masa hadapan", kata Aizat.

Sekadar info, konsert 'Good Vibes Tour 2019' yang bakal berlangsung pada 13 Mei 2019 di Axiata Arena, Bukit Jalil merupakan salah satu hentian konsert jelajah Asia bintang terkenal itu.