Syarikat pengedar kereta Honda Sri Utama Auto Sdn. Bhd. Jalan Genting Kelang, Kuala Lumpur pada Selasa tampil memohon maaf kepada keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ia gara-gara komen tidak sensitif yang ditinggalkan oleh salah seorang kakitangannya di laman sosial Facebook.

Menurut Pengarahnya, Wong Chee Keong, pada masa ini, kakitangan berkenaan, Caryn Yean telah digantung perkhidmatannya bagi membolehkan pengurusan syarikat menjalankan siasatan dalaman.

"Kami juga akan mengambil tindakan yang setegas mungkin," kata Chee Keong dalam satu kenyataan yang sedang tular di media sosial.

Terdahulu, Caryn meninggalkan komen seperti berikut:

“Bukan kerajaan gagal... tuhan u yang gagal x sembuhkan adib..." tulisnya.

Caryn dikecam netizen bahkan rata-rata netizen kesal dan menyelar kebiadapan wanita itu dengan mengaitkan tragedi yang menimpa Adib dengan kepercayaan agama.

Dalam reaksi di Facebook juga, netizen menggesa agar Honda mengenakan tindakan paling tegas buat Caryn sebagai pengajaran.

Sumber: Astro Awani