Laman Utama
“Bukan Niat Untuk Rahsiakan Pernikahan” - Ariff Bahran Beri Sebab Kenapa Umumkan Tentang Status Terkini Sebagai Suami Di Pentas Anugerah
Malam semalam, kecoh di media sosial apabila penyanyi Ariff Bahran, 23, dikhabarkan telah pun mendirikan rumah tangga dengan Amirah Syazwani Mohd Riszuan, 27, pada 3 September lalu.
Perkhabaran tersebut menimbulkan kekecohan dalam kalangan pengguna media sosial apabila dia dilihat mencium dahi seorang wanita ketika mempersembahkan lagu Bicara Rasa bersama Sarah Suhairi pada Anugerah Drama Sangat 2021.
Ariff berkata, dia tidak berniat untuk merahsiakan majlis pernikahan mereka memandangkan situasi pada ketika itu tidak mengizinkan.
"Alhamdulillah saya selamat bergelar suami pada 3 September lalu. Majlis pernikahan berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat kerana masih dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Bukan niat untuk merahsiakan pernikahan kami cuma pada masa itu, situasi tidak mengizinkan. Selepas berbincang dengam isteri dan pihak penganjur, saya mengambil keputusan untuk mengumumkannya pada malam kemuncak Anugerah Drama Sangat 2021," katanya.
Ariff menambah, dia yang mengakui bahagia dengan fasa baharunya itu merancang untuk mengadakan majlis resepsi pada tahun hadapan.
"Kami memang ada perancangan untuk mengadakan majlis resepsi tahun depan. Tapi disebabkan saya terbabit dengan penggambaran hingga bulan Mac, kami masih belum dapat memutuskan tarikh yang sesuai," ujarnya
Terdahulu berita perkahwinan Ariff diumumkan oleh Ain Edruce dan Nabila Huda semasa mengacarakan malam Anugerah Drama Sangat 2021.
Dalam perkembangan lain, Ariff akan meluncurkan sebuah single baharu berjudul Melodi Hati yang dicipta khas olehnya bersama Rasya Haikal buat isteri tercinta.
Sebelum ini, Ariff pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan Sarah Suhairi dan juga Sissy Iman.
Must-Watch Video