Penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari atau nama singkatannya BCL beberapa kali menitiskan air mata apabila mengenangkan arwah suaminya Ashraf Sinclair ketika menjayakan konsert BCL Blossom Intimate di Penary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) malam tadi.

Kata Bunga Citra Lestari dia tidak dapat menahan sebak kerana bukan mudah untuk kembali ke rumah keduanya iaitu Malaysia meskipun amat merinduinya selepas kehilangan Ashraf Sinclair.

"Malaysia punya kenangan yang tersendiri kerana banyak pengalaman indah saya di Malaysia.

"Perasaan itu berbaur dan saya menjadi gementar malam ini kerana kemballi ke Malaysia bukan mudah tetapi selalu dirindukan.

"Saya bertemu dengan Ashraf di Kuala Lumpur dan banyak memori bersamanya di sini yang tak mudah untuk dilupakan," katanya lalu menitiskan air mata.

Bunga berkongsi rasanya itu selepas persembahan pertamanya menerusi lagu Sunny sebagai pembuka konsertnya malam tadi.

Perkongsian Bunga telah membuatkan ramai penonton dalam dewan turut sebak dan mengalirkan air mata seola- olah memahami perasaannya sejak kehilangan Ashraf buat selamanya pada 18 Februari 2020.

Lebih sebak lagi apabila Bunga berkongsi cerita bagaimana pertemuannya dengan Ashraf di Malaysia sehingga jatuh cinta dan berkahwin selama 12 tahun.

Kata Bunga dia bangkit selepas mengenangkan 12 tahun yang indah bersama suami yang mencintainya sepenuh hati.

"Kehilangan orang yang saya cintai ketika itu saya merasa seperti sudah berada di titik terendah dalam hidup saya.

"Pun begitu, di sini saya ingin kongsi betapa indahnya 12 tahun hidup dengan Ashraf bukan untuk bersedih tapi berkongsi rasa indahnya peluang yang diberikan Allah," katanya.

Ketika menyanyikan lagu 12 Tahun Terindah Bunga tidak dapat menahan sebak lalu suaranya terus tersekat sehingga sempat menyeka air mata yang bergenang.

Persembahannya itu turut membuat penonton sebak apabila memaparkan foto-foto kenangannya bersama Ashraf ketika menyanyikan lagu ciptaannya sendiri buat pertama kali.

Selain beberapa lagu sedih, Bunga turut menghiburkan penonton dengan lagu-lagu rancak dan lagu cinta yang keseluruhannya telah mendendangkan lebih 20 buah lagu hitsnya.

Antara lagu dendangannya sejak bergelar penyanyi sekitar tahun 2006 adalah Cinta Sejati, Ingkar, Wanita Terbahagia, Karena Ku Cinta Kau dan Saat Kau Pergi.

Bunga juga sempat 'menjemput' Ariel Noah dalam versi rakaman yang memaparkan visual penyanyi lelaki itu seolah-olah sedang berduet denganya menerusi dua buah lagu iaitu Menghapus Jejakmu dan Mancari Cinta.

Diakhir konsert Bunga telah menampilkan anak tunggalnya Noah sebagai kejutan apabila menjadi rapper ketika dia menyanyikan lagu Dance Tonight.

Anaknya yang kini sudah berusia 12 tahun itu juga kelihatan lincah dan bertenaga saat melakukan persembahan sehingga menerima soralan dari penonton.

Konsert anjuran ICON Entertainment tersebut turut dihadiri keluarga Ashraf termasuk ibu dan bapanya iaitu Mohamed Anthony John Sinclair, Khadijah Abdul Rahman serta adik perempuan Allahyarham, Aishah Sinclair.


Foto kredit: @bangsawanpictures