Hiburan
Caliph Buskers Mahu Sampaikan Dakwah Menerusi Single Terbaru, Manusia
Kumpulan Caliph Buskers bakal muncul dengan single terbaru berjudul Manusia.
Menerusi single tersebut, Caliph Buskers sekali lagi mempertaruhkan konsep ketuhanan sebagaimana lagu-lagu popular mereka sebelum ini iaitu Hanya Namamu dan Buta.
Menurut vokalisnya, Azmi Saat menyifatkan lagu Manusia ciptaan Omar K, Ikhwan Fatanna dan John Jeevasingham itu seumpama makanan jiwa.
“Ini bukan lagu nasyid tapi lebih kepada pop ketuhanan. Lagu ini bercerita tentang penyesalan seorang insan yang membelakangkan Yang Esa tatkala sibuk mengejar dunia.
“Kami berharap lagu ini mampu menyampaikan dakwah secara tidak langsung kerana lagu ini mampu melahirkan rasa insaf kepada yang benar-benar menghayatinya.
“Kalau terlalu cintakan dunia, semuanya akan hilang atau mati akhirnya. Tetapi cinta kepada Yang Esa menjadikan hidup kita di atas muka bumi ini lebih bermakna.” ujarnya.
Single terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 29 November 2019.
Terdahulu, Caliph Buskers pernah popular menerusi lagu Romancinta dan Hanya Namamu.
Selain itu, mereka mendapat pencalonan dua kategori di Anugerah Nasyid IKIM 2019 (AN19) yang bakal berlangsung pada 30 November nanti.
Manakala menerusi Buta, Caliph Buskers juga telah tercalon untuk kategori Anugerah Lagu Pilihan Pendengar dan Anugerah Artis Duo/Berkumpulan Pilihan.
Must-Watch Video