Laman Utama
Cantiknya! 'Tayang' Buah Hati Anak Mami, Usop Sedia Tamat Zaman Bujang
Naib juara Big Stage 2020 Usop sudah terbuka untuk berkongsi soal hati apabila mula berkongsi foto bersama kekasih hati yang dikenali sebagai Teha di laman media sosial.
Menurut Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor, 23, dia sudah bersedia apabila mula berkongsi sekeping foto bersama kekasih ketika memberikan kejutan sempena ulang tahun kelahirannya pada malam 25 Oktober lalu.
“Nama dia Nur Fatehah, berusia 26 tahun dan dia kerja biasa sahaja di pejabat.
“Bagi saya, saya okay sahaja bila Teha pun berkongsi momen-momen bersama saya di laman sosial sebab saya tak pernah dapat kejutan macam tu dari orang yang saya sayang. Saya rasa sangat dihargai.
“Selalunya kalau saya kata okay, baru dia akan post gambar kami. Tak mengapa saya nak repost foto tersebut di Instagram sebab saya nak jadikan momen itu sebagai kenangan,” ujar Usop ketika dihubungi Gempak.
Malah menerusi satu sesi siaran langsung Instagram pada malam yang sama, Teha turut mengakui sedang menjalin hubungan cinta dengan pelantun lagu Pencinta Setiamu itu.
Tambah Usop lagi, mereka sudah bertemu dengan keluarga masing-masing dan sememangnya sudah berhajat untuk menamatkan zaman bujangnya.
“Betul, saya memang sudah ke arah perkahwinan bila saya pun dah jumpa dengan keluarga dia dan keluarga kami pun dah saling mengenali. Lagi pun ini benda baik,” jelas anak kelahiran Kulim ini.
Di samping itu, Usop juga akan memberikan tunjuk ajar kepada buah hatinya tentang selok-belok dunia hiburan.
“Bila kami berkawan, automatik dia pun ceburi bidang saya. Memang dia baru lagi, dia pun takut nak masuk dalam bidang saya. Ada banyak benda dia perlu belajar,” jelas Usop lagi.
Must-Watch Video