Malaysia merekodkan 1,739 kes baharu COVID-19 untuk tempoh 24 jam yang lalu.

Ia sekali gus menjadikan kumulatif kes positif ketika ini adalah 360,856 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, Selangor menjadi negeri yang mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 535 kes.

Pada hari ini, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 535kes (30.8 peratus).

"Daripada jumlah ini, sebanyak 441 kes (82.4 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 443 kes (25.5 peratus)dan Sabah sebanyak 127 kes (7.3 peratus)," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Dr Noor Hisham berkata sejumlah lapan kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kematian adalah 1,329 kes.

"Terdapat lapan kes kematian pada hari ini yang melibatkan empat kes di Selangor, dua kes di Kuala Lumpur dan masing-masing satu kes di Sabah dan Johor.

"Kesemua kes melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka," katanya.

Selain itu, sejumlah 1,216 kes sembuh dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu dengan kumulatif kes sembuh kini adalah 343,953.