Laman Utama
"COVID-19 Hadirkan Memori Pahit ..." - Hargai Detik-Detik Dengan Insan Tersayang, Wafa Hadiahkan 'Waktu'
Berpaksikan muzik jenis balada, sama seperti single pertamanya iaitu ‘Ikatan Kita’, anggota kumpulan Bahiyya Haneesa, Wafahish kini tampil dengan single terbaharu berjudul Waktu.
‘Waktu’ merupakan sebuah karya untuk memperingati serta menghargai bibit-bibit memori sebagai kenangan terindah dalam perjalanan hidup. Lagu ini susulan daripada beberapa fasa yang Wafa alami dalam kehidupannya belakangan ini.
Kata Wafa, 27, mesej lagu ini cuba disampaikan ialah pahit manis bersama tersayang.
"Setiap insan pasti melalui warna-warni dan juga pahit manis bersama orang yang tersayang. Namun, ‘Waktu’ tampil sebagai salah satu untuk mendekati pendengar dalam menyampaikan mesej supaya menghargai detik-detik tersebut.
"Inspirasi single ini hadir daripada penghayatan emosi saya ketika dunia kita telah dilanda fasa pandemik COVID-19 yang semestinya ada menghadirkan memori-memori pahit buat seluruh rakyat Malaysia," ujarnya.
Titik permulaan kisah ‘Waktu’ bermula apabila Wafa meneliti sebuah trend di media sosial yang berceritakan tentang pahitnya perasaan kehilangan ahli keluarga yang tersayang. Wafa mendalami kisah-kisah yang berlaku semasa negara melalui fasa tersebut, lalu melahirkan rasa ingin untuk berkongsi emosi serta pengalaman yang turut dilalui dirinya.
Selain itu, Wafa cuba untuk mendekati pendengarnya, dengan menterjemahkan monolog dirinya.
"Masa bersama dengan orang tersayang adalah sebuah memori yang perlu dihargai. Setiap kenangan indah perlukan menikmati dan dihayati. Manakala kenangan pahit pula merupakan sebahagian dari roda kehidupan yang pasti akan ada hikmah disebaliknya. Bagai ada sinar di hujung terowong," tambahnya.
‘Waktu’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, YouTutube & YouTube Music.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.
Must-Watch Video