Laman Utama
COVID-19: Kes Kekal Empat Angka, Selangor Masih Tertinggi Selama 10 Hari!
Malaysia terus mencatatkan kes harian baharu empat angka COVID-19 iaitu 1,247 kes pada Jumaat, dengan negeri Selangor kekal tertinggi untuk hari ke-10 berturut-turut, lapor AWANI.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu sekali gus menjadikan kes keseluruhan jangkitan virus itu sebanyak 101,565 kes.
Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah sebanyak 18,576 kes.
"Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,245 kes.
"Negeri Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 461 kes (37.0 peratus). Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 225 kes (18.0 peratus) dan Johor sebanyak 205 kes (16.4 peratus)," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan tiga kes kematian COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 449 kes (0.44 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Sementara itu, beliau menambah, Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengesan empat kluster baharu membabitkan jangkitan virus berkenaan.
"Empat klustert tersebut adalah Kluster Cassia Diamond; Kluster Pompod; Kluster Tapak Bina Kiara dan Kluster Tapak Bina Perkasa.
"Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 268 kluster termasuk enam kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Tanamera, Kluster Jalan Kalabakan, Kluster Seri Terapi, Kluster Seri Pasir, Kluster Astaka dan Kluster Tembaga," jelasnya.
Sumber : Astro AWANI // Fauzi Suhaimi
Must-Watch Video