Penyanyi Siti Sarah Raisuddin yang sempat dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) pagi tadi memberi khabar baik tentang dirinya.

Menerusi kiriman suara yang diberikan kepada Gempak oleh pengurusnya, Nana Mohd Rom, sebentar tadi, Sarah dimaklumkan saat ini berada dalam keadaan baik.

"Alhamdulillah tadi Shuib call, habis bacaan yasin, doktor cakap Sarah stabil. Sarah okay," kata Nana dalam nada sebak.

Sarah juga dimaklumkan akan melalui proses pembedahan untuk menyelamatkan bayi berusia 7 bulan dalam kandungannya pada pukul 2 petang ini.

"Insya Allah pukul 2 ini doktor akan keluarkan baby melalui pembedahan. Minta tolong doakan," ujar Nana lagi.

Sementara itu, Shuib, 36, juga melahirkan kesyukuran apabila dimaklumkan mengenai keadaan terkini Sarah yang sempat kritikal selepas oksigen dalam badannya turun.

"Terima kasih buat semua yang sudi meluangkan masa menyertai bacaan yasin untuk kesejahteraan @sitisarahraissuddin tengahari ini. Memang berat ujian yang perlu dihadapi oleh @shuibsepahtu sekeluarga.

"Paling mengharukan, sebaik sahaja tamat bacaan Yasin doktor memaklumkan yang paras oksigen Sarah semakin baik dan akan melakukan pembedahan mengeluarkan bayi dalam kandungan pukul 2 petang nanti.

"Insya-Allah dengan pembedahan tersebut dapat menyelamatkan mereka berdua. Terima kasih atas doa dan kata-kata semangat daripada semua. Semoga Allah memperkenankan doa hamba-Mu ini," katanya,

Terdahulu pelawak dan usahawan ini mengambil inisiatif melakukan majlis bacaan Yasin dan doa secara dalam talian pada pukul 12.30 tengahari tadi buat Sarah. Bacaan tersebut dipimpin oleh Imam Muda Asyraf.

Difahamkan, majlis bacaan yasin dan doa selamat buat Sarah akan diadakan malam ini dan dirancang berjalan selama tiga hari.

Sebelum ini media melaporkan Sarah yang dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10 tahun, Dzahira Talita Zahra, 8 tahun, dan Ariq Matin, 6 tahun hasil perkongsian hidup 11 tahun bersama Shuib, positif Covid 19.

Instagram: @shuibsepahtu