Sejak semalam (Khamis) tular foto beberapa lokasi yang lengang selepas hari kedua pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Tanda-tanda positif mulai kelihatan apabila pekan di beberapa buah negeri lengang seperti ‘zombieland!’

Mungkin kehadiran anggota polis turut memberi kesan kepada orang ramai supaya terus akur tinggal di rumah dalam usaha kerajaan mengekang wabak COVID-19.

Difahamkan, keadaan trafik di jalan-jalan utama di seluruh negara agak lebih lengang hari ini (hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan).

Menerusi tinjauan dilakukan Astro Awani orang ramai sudah mula membeli makanan untuk dibawa pulang dan sebahagian besar sudah tidak lagi makan di restoran, keluar bersiar-siar atau pulang ke kampung.

Satu lagi tanda positif ialah bilangan kes baharu positif COVID-19 di negara ini mula menunjukkan trend mendatar dengan jumlah 125 kes direkodkan pada Isnin diikuti 120 kes (Selasa), 117 kes (Rabu) dan 110 kes hari ini seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.