Penyanyi Syafiq Farhain mengakui sudah memiliki kekasih namun memilih untuk tidak berkongsi dengan lebih lanjut mengenai kisah peribadinya itu.

Bagi Syafiq perkara itu tidak perlu diuar-uarkan kerana tidak mahu terkait gosip dan sebagai penjawat awam dia perlu menjaga nama baik majikan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Saya kalau boleh tak mahu kisah peribadi lebih ditonjolkan berbanding kerjaya seni.

“Lagipun saya tak nak nanti timbul cerita-cerita gosip sebab saya perlu menjaga nama baik dan imej Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Kalau yang tahu tu, tahulah. Bohonglah kalau saya kata taka da. Takkanlah dah tua-tua macam ni pun tak ada orang nak lagi,” selorohnya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Syafiq berkata kekasihnya bukan dari kalangan artis atau selebriti.

“Dia orang biasa sahaja. Bukan artis, bukan dalam kalangan JPBM juga. Itu sahajalah,” katanya ketawa.

Dalam perkembanga lain, Syafiq akan memeriahkan pertandingan e-Sukan, ‘Mobile Legend: Anonymoz Merdeka Challenge’ anjuran Anonymoz Gaming bersama Apak Harry Khalifah.

Syafiq dan Apak akan membuat persembahan secara langsung semasa acara pembukaan dengan menyanyikan lagu patriotik.

“Ini pertama kali saya terlibat dengan persembahan melibatkan permainan video. Teruja dan tak sabar sebab sambil-sambil main game kita sematkan juga semangat patriotisme di kalangan anak muda,” katanya pada majlis sidang media virtual, Mobile Legend Anonymoz Merdeka Challenge 2021, pada petang Isnin.

‘Mobile Legend: Anonymoz Merdeka Challenge’ dilakukan sepenuhnya secara maya dan disertai 128 pasukan daripada Malaysia, Myanmar dan Indonesia.

Peringkat saringan akan bermula pada 29 Ogos 2021 dan akan dijalankan secara offline.

Siaran secara langsung melalui media sosial Facebook dan Youtube hanya akan dimulakan ketika pertadingan sudah memasuki playoff stage.

Hadiah bernilai RM2,000 akan menjadi rebutan untuk dimenangi oleh semua pasukan yang terlibat.