Berita
Dahulu 2.9 Juta, Kini Hanya 10,000 Umat Islam Tunai Haji
Seramai 10,000 umat Islam yang berada di Tanah Suci berpeluang menunaikan ibadah haji tahun ini berbanding kira-kira 2.9 juta orang dari seluruh dunia pada tahun lalu, lapor Awani
Namun begitu, jemaah yang memulakan ibadah berkenaan hari ini mengamalkan kebiasaan baharu dengan memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan sosial sebagai usaha kerajaan mencegah COVID-19.
Berdasarkan video yang dimuat naik dalam laman Twitter rasmi CIC Saudi Arabia, mendapati jemaah dibawa ke Masjidil Haram sebelum melakukan tawaf dengan mengelilingi Kaabah di mana tempat umat Islam dari seluruh dunia berdoa.
Mereka dibawa mengikut kumpulan kecil dan hanya melalui laluan yang ditetapkan.
Perkara itu jelas memperlihatkan perbezaan dengan situasi normal sebelum ini di mana lautan manusia mengelilingi Kaabah ketika musim haji.
Musim haji tahun ini, menerima bilangan jemaah paling sedikit dalam usaha Arab Saudi mencegah COVID-19.
Menunaikan haji iaitu antara lima rukun Islam dan wajib bagi umat Islam yang mampu sekurang-kurangnya sekali dalam hidup.
Kerajaan Arab Saudi sebelum ini menyatakan bahawa hanya kira-kira 1,000 jemaah yang tinggal di kawasan itu diberikan kebenaran menunaikan haji namun media tempatan melaporkan sehingga 10,000 dibenarkan menyertai musim haji kali ini.
Mereka juga akan dikuarantin selepas selesai menunaikan ibadat berkenaan.
Menurut Kementerian Haji, kesemua jemaah juga diberikan kit kelengkapan yang lengkap membabitkan batu kecil yang sudah disterilkan.
Sumber: Astro Awani
Must-Watch Video