Selebriti Noor Neelofa Mohd Nor selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban pada jam kira-kira jam 11.40 pagi tadi (Isnin).

Neelofa hadir ke IPD Seremban ditemani suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail, dan peguamnya pada jam 10.15 pagi.

Mengulas mengenai siasatan yang dijalankan, Neelofa berkata pihaknya telah memberi kerjasama kepada polis.

“Pihak kami dah berikan sepenuhnya kerjasama kepada pihak polis dalam menyelesaikan kes ini.

“Alhamdulillah proses berjalan dengan lancar. Tak banyak yang boleh saya ulas tentang hal ini memandangkan kes masih lagi dalam siasatan.

“Insyaallah jika ada perkembangan, pihak saya ataupun pihak polis akan maklumkan. Terima kasih ya,” katanya kepada Gempak.

Jumaat lalu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim memaklumkan siasatan akan dijalankan terhadap Neelofa yang didakwa mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban pada Khamis.