Pelakon terkenal Sharnaaz Ahmad, 34, melahirkan rasa syukur kerana sebutan kes semula bersama isterinya, Noor Nabila Mohd Noor, 34, berjalan dengan lancar.

Walaubagaimanapun, Sharnaaz enggan mengulas lebih lanjut dan menyerahkan kepada wakil peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader untuk menjawab segala soalan yang dikemukakan.

"Saya serahkan kepada peguam saya untuk menerangkan rumusan kes sebutan semula pada hari ini.

"Alhamdulillah saya rasa semuanya berjalan dengan lancar," jawabnya dengan ringkas.

Ketika ditemui media selepas prosiding, Datuk Akberdin menjelaskan pelantikan hakam adalah untuk menyelesaikan semua isu dan mencari jalan terbaik antara Sharnaaz dan Nabila.

"Keputusan hari ini mahkamah menetapkan pelantikan hakam bagi menyelesaikan semua isu dan mencari jalan terbaik. Kita ada peruntukan undang-undang untuk merujuk kes ini ke hakam pula.

"Dua-dua pihak ada alasan masing-masing dan kalau tiada penyelesaian mereka ada hak untuk bawa ke peringkat seterusnya iaitu hakam.

"Kita sekarang ini dalam usaha nak selesaikan semuanya secara terbaik supaya masing-masing hidup aman dan damai," katanya kepada Gempak.

Terdahulu prosiding itu berlangsung secara tertutup.

Dalam prosiding terbabit, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Sharnaaz manakala peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mewakili Nabila.

Sharnaaz melantik kakaknya Dr Sherrini Ahmad Bazir Ahmad sebagai wakilnya manakala Nabila yang juga kakak pengacara dan pelakon Neelofa itu melantik ayah tirinya, Abdul Halim Khan.

Sementara itu, mahkamah turut menetapkan 4 Disember ini untuk sebutan semula permohonan nusyuz dan melantik hakam selepas jawatankuasa pendamai (JKP) tidak berjaya.

Perlantikan JKP itu adalah susulan daripada Sharnaaz yang tidak bersetuju dengan tuntutan penceraian Nabila yang memfailkan permohonan cerai secara baik pada 27 Ogos lalu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

BACA: "Kahwin Elok, Tak Kan Nak Cerai Gaduh-Gaduh" - Sharnaaz Ahmad

BACA: Tuntutan Cerai Ditolak, Air Mata Noor Nabila Gugur

Pada 13 September lalu, Noor Nabila memfailkan interim hadanah (hak penjagaan sementara anak) terhadap anak tunggal mereka, Jebat Jayden di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.

Sharnaaz dan Nabila mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan Jebat Jayden Ahmad pada 30 Ogos tahun lalu.