Pelakon dan bintang Youtube popular, Baim Wong sekali lagi menyorot perhatian netizen apabila dia menghadiahkan sebuah motor kepada seorang wanita mangsa samun baru-baru ini.

Momen-momen pemberian hadiah berkenaan dikongsi Baim menerusi saluran Youtube miliknya, Baim Paula. Menerusi perkongsiannya, Baim berkata, wanita bernama Ramadhoni itu disamun sehingga mengalami kecederaan yang teruk.

Paling menyedihkan, wanita yang bekerja sebagai tukang cuci itu tidak mempunyai wang dan juga insurans, sehingga tidak diterima oleh sebuah hospital bagi mendapatkan rawatan.

"Ok kita sudah sampai ya, jadi nama dia ibu Ramadhoni.

"Jadi dia disamun dan yang menyedihkannya ketika dia dalam keadaan berdarah-darah, dia pergi ke sebuah hospital, tetapi tidak diterima kerana tidak mempunyai duit dan insurans," terang Baim.

Tambah Baim, jika dia memiliki sebuah hospital, sudah pasti dia akan menerima Ramadhoni sebagai pesakitnya.

"Aduh saya bingung juga kadang-kadang, tapi kita tidak tahu cerita di pihak hospital. Tapi kalau saya punya hospital, saya bagi masuk," getus Baim lagi.

Sambil berkongsi kesedihannya, Baim dilihat berjalan masuk ke ruangan di mana Ramadhoni sedang dirawat. Setelah bertemu, Baim mendengarkan kronologi kejadian samun yang dialami Ramadhoni.

"Iya, saya dipukul di belakang dengan kayu terus jatuh. Motor saya dibawa lari," cerita Ramadhoni kepada Baim.

Selesai berziarah dan berbual dengan Ramadhoni, Baim pulang bagi menyelesaikan pekerjaannya dan kembali semula melawat wanita itu pada keesokan hari.

Namun sebelum pergi ke hospital, Baim Wong sempat membeli sebuah motosikal baharu buat Ramadhoni.

Menariknya, Baim bertindak memberi kejutan kepada Ramadhoni dengan menyorong motosikal baharu yang dibelinya ke dalam wad.

“Ya Allah terima kasih banyak Baim,” ucap wanita itu menangis kegembiraan.

Menerusi ruangan komen di Youtubenya, ramai netizen memuji kemuliaan hati Baim dalam membantu wanita yang sedang ditimpa kesusahan itu.

“Ke mana saja abang Baim pergi mesti ada yg dibahagiakan. Bali, Surabaya, Lombok, Kalimantan, Sulawesi, NTT bahkan Spanyol mesti ada kenangan manis untuk orang di sana,” tulis seorang pengguna Youtube.

“Saya doakan mudah-mudahan abang Baim akan mempunyai hospital sendiri agar dapat membantu orang yang susah untuk berubat seperti ibu ini. Dan mudah-mudahan ibunya cepat pulih kembali,” luah seorang lagi netizen.

Kredit foto: Instagram Baim Wong