Tinggal beberapa minggu saja lagi filem BoBoiBoy Movie 2 (BBBM2) bakal ditayangkan serentak di lima negara membabitkan 500 pawagam.

Jumlah tayangan terbabit sekali gus menjadikan BBBM2 sebagai filem animasi pertama ditayangkan sebanyak itu.

BACA: Cipta Sejarah! “BoBoiBoy Movie 2” Jadi Filem Animasi Pertama Ditayangkan Serentak Di 5 Negara

Namun, disebalik kejayaan terbabit, tahukah anda individu penting dalam kemunculan watak BoBoiBoy?

Bermula Dari Budak Kampung



Individu terbabit adalah Nizam Razak dan beliau kini menggalas tanggungjawab terbesar di syarikat Animonsta Studio sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Menceritakan sedikit tentang kisah hidupnya, lelaki berusia 35 tahun ini mendedahkan beliau hanyalah seorang budak kampung biasa satu ketika dulu.

“Saya lahir di Muar tapi membesar dan menikmati zaman kanak-kanak di Kampung Jambatan Duyung, Melaka.

“Saya tak malu pun digelar budak kampung, sebaliknya lebih bangga kerana dibesarkan di sana. Lebih seronok,” katanya.

Menurut Nizam, antara yang hobi paling diminatinya ketika kecil pula adalah mengumpul koleksi komik dan juga melukis.

Malah, berkemungkinan minat itu juga telah membawanya sehingga hari ini.

“Minat yang mendalam terhadap komik telah menjadi titik permulaan untuk saya menceburi dunia filem dan animasi.

“Pada yang tidak tahu. saya merupakan graduan bidang komunikasi massa di Universiti Multimedia.

“Tahun 2009 pula merupakan tarikh penting apabila terciptanya Animonsta Studio,” katanya.

Bagaimana BoBoiBoy Tercipta?



Jika ada yang tertanya-tanya, bagaimana watak BoBoiBoy ini boleh terhasil, ia sebenarnya tercipta apabila Nizam sendiri melihat anaknya yang ketika itu berusia dua tahun.

Jelas Nizam, ia bagaikan satu kesedaran untuk mencipta satu watak animasi yang lebih bersifat lokal untuk generasi sekarang.

“Seperti kita yang membesar dengan watak seperti Ultraman, Power Rangers, mereka juga layak untuk diberi satu idola adiwira untuk ‘childhood’ mereka.

“Maka terciptalah watak BoBoiBoy,” katanya.

Nak Berjaya? Bukan Mudah!

Seperti perniagaan lain, industri animasi juga mempunyai cabaran yang tersendiri.

Menurut Nizam, antara faktor paling sukar buat Animonsta Studio adalah untuk mendapat kepercayaan industri itu sendiri.

Menurutnya, di awal penglibatannya, banyak pihak agak skeptikal mengenai kewujudan watak animasi berbentuk 'Superhero'.

“Malah, ada juga suara-suara sumbang mempersoalkan mengapa perlu watak adiwira tempatan dan apa pula bezanya dengan produk luar.

“Namun bagi saya, jika watak itu dihasilkan menggunakan ‘DNA’ lebih lokal serta dekat dengan masyarakat, maka penonton akan lebih rasa ‘relatable’,” katanya.

Jangan Lupa Saksikan BoBoiBoy Movie 2!



Untuk pengetahuan anda filem BBBM2 ini akan bakal menemui penonton bermula 8 Ogos ini.

Namun, sebelum itu, anda boleh menonton trailer rasmi filem ini yang telah pun menerima lebih 1 juta tontonan selepas kurang daripada 48 jam dilancarkan di YouTube.

Malah, sehingga artikel ini ditulis, video trailer ini telah pun mencapai 2.2 juta tontonan. Terbaik!

BACA: "Fuhh Sehebat Avengers" - Trailer Rasmi BoBoiBoy Movie 2 Buat Peminat Tak Senang Duduk!