Cef selebriti terkenal tanah air, Datuk Fazley Yaakob mengakui tidak menyangka apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah Alumni Paling Cemerlang pada Majlis Gala Alumni Le Cordon Bleu, Paris, yang diadakan di kampus institut tersebut pada 18 September lalu.

Menurut Fazley, dia bersyukur kerana berjaya melakar sejarah tersendiri dalam hidupnya dan kagum apabila anugerah yang diterima itu dapat mengharumkan nama Malaysia.

"Saya sebenarnya tidak menyangka akan menerima anugerah ini kerana terdapat beberapa nama besar yang dicalonkan dalam senarai akhir.

"Jadi saya cuma datang untuk menghormati majlis kerana telah mendapat jemputan daripada mereka.

"Tak sangka pula pada majlis itu nama saya diumumkan sebagai pemenang dan membuatkan saya rasa terharu kerana dapat mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Anugerah ini sebenarnya didedikasikan khas kepada bekas graduan Le Cordon Bleu yang meraih kepelbagaian pencapaian cemerlang dalam dunia kulinari, keberkesanan berkongsi ilmu menerusi dunia tersebut serta mendapat liputan media paling efektif menerusi karier masing-masing selepas menamatkan pengajian di institut berkenaan," katanya kepada Astro Gempak.

Fazley berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Portal Membeli-belah Jaya Grocer, di Starling Mall, Damansara Uptown, pada Rabu.

Tambah Fazley, pemilihan anugerah ini diadili oleh empat juri khas; Cef Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Seni Kulinari Le Cordon Bleu Paris, Eric Briffard, Pastry Cef Tebaik Perancis 2015, Jérôme Chaucesse, Cef Eksekutif Restoran Laurent dan Cef Michellin Star, Cef Alain Pégouret dan Pengarah Sommelier Hotel Ternama di Paris, Estelle Touzet.

Selain pengiktirafan Alumni Paling Cemerlang, dua lagi anugerah yang turut dipertandingkan pada majlis sama adalah The Best Alumnus Concept dan The Most Successful Entrepreneur.

Ini kali pertama dalam sejarah Le Cordon Bleu mengadakan penganugerahan sedemikian.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi