Dayang Nurfaizah Terhibur Dengar Peminat Sorak Suruh ‘Kahwin’ Dengan Hael Husaini - “Terima Kasih, Doa Yang Baik-Baik”
Penyanyi, Dayang Nurfaizah akui terhibur selepas mendengar sorakan peminat yang memintanya untuk berkahwin dengan Hael Husaini ketika kemunculannya di konsert Hael Husaini & Repertoire pada Jumaat.
“Bila dengar itu saya tergelak, sangat comel, terima kasih. Saya fikir kita kena hormat peminat jika mereka mahu padankan kita dengan sesiapa. Perkara ini bukan hanya terjadi di Malaysia, malah juga di Hollywood. Peminat suka ‘ship’ (kenenkan) artis.
“Saya harap mereka terus sokong saya dan Hael cuma tiada apa yang boleh saya katakan selain terima kasih dan doakan yang baik-baik,” katanya kepada Gempak.
“Saya rasa sorakan itu bukan untuk saya dan Dayang, mungkin untuk pasangan lain. Tidak mengapa, saya anggap itu sebagai salah satu cara lagu-lagu saya diraikan.
“Ada lagu saya yang sedih, ada juga yang meraikan kebahagiaan. Bila orang mendoakan, itu sudah menjadi kejayaan terbesar malam ini,” katanya.
Suasana di Zepp Kuala Lumpur menjadi gamat apabila peminat melaungkan perkataan ‘kahwin’ berulang kali ketika persembahan duet mereka.
Sebelum ini, khabar angin kononnya mereka mempunyai hubungan istimewa pernah tular apabila kedua-duanya memberi bayangan sudah tidak lagi solo.
Pada Jun lalu, timbul pula dakwaan Dayang sudah bertunang, namun kedua-duanya menafikan dan menegaskan hubungan mereka hanya sekadar sahabat.