Abang kepada Atlet paralimpik Malaysia, Mohamad Saiful Puzi mengakui adiknya Mohamad Ridzuan Puzi tidak pernah tahu bahawa dia merupakan sebagai orang kelainan upaya.

Menurut Saiful, Ridzuan atau lebih mesra dipanggil Dek Wan tidak pernah menggangap kekurangan yang dialaminya itu sebagai penghalang buat adiknya menjalani kehidupan seperti orang biasa.

"Sejak kecil lagi Dek Wan tidak pernah tahu dia merupakan orang kelainan upaya.

"Di sebalik kekurangan yang ada pada dia, adik saya ini mempunyai semangat yang tinggi dan itu adalah perkara 'luar biasa' tentangnya yang mungkin orang tidak tahu.

"Dia akan melakukan semua perkara yang orang normal lakukan sehingga dia lupa sebenarnya dia mempunyai kekurangan.

"Saya boleh katakan, kejayaannya pada hari ini adalah terhasil daripada semangatnya sejak kecil lagi," katanya kepada Astro Gempak.

Saiful berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana, Karya 12 vol. 2, Luar Biasa, di Panggung Eksperimen Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

Luar Biasa dilakonkan oleh pelakon Rykal Iskandar yang memegang watak sebagai Dek Wan dan Idan Aedan sebagai Saiful.

Karya 12 vol. 2, merupakan inisiatif Astro untuk memberi peluang kepada pengarah berpengalaman dan pengarah muda berkongsi pengalaman dalam menghasilkan sebuah telemovie yang berkualiti.

Antara pengarah berpengalaman yang terlibat ialah Rashid Sibir, Nik Amir Mustapha, Mamat Khalid, Feroz Kader, Tunku Mona Riza dan Razaisyam Rashid.

Sementara itu pengarah muda yang akan diberi peluang untuk menghasilkan karya mereka ialah Muhammad Haffez Bin Mohd Amin, Ikmar Sarbin, Hadli Hairudin, Nur Syuhada Zamri, Najmie Maziez dan Vigniswara.

Sebanyak 12 telemovie akan ditayangkan setiap minggu menerusi Karya 12 vol. 2 pada pukul 9 malam.

Jangan lupa untuk menyaksikan telemovie, Luar Biasa, pada 25 November ini (Sabtu), pada pukul 9 malam di saluran Astro Citra (saluran 131).

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi