HIBURAN
"Denda RM3,000 Ke Atas Aliff Aziz & Ruhainies Hukuman Maksimum Khalwat" - Menteri Agama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan denda RM3,000 dikenakan terhadap pasangan selebriti, Aliff Aziz dan Ruhainies atas kesalahan khalwat merupakan hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan.
BERITA TRENDING: Menteri Agama Sahkan Kes Khalwat Aliff Aziz, Ruhainies Selesai
Tambah beliau, hakim tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman lebih berat kerana ia bertentangan dengan undang-undang sedia ada."Justeru, kami mencadangkan agar hukuman yang boleh dikenakan atau dijatuhkan oleh hakim mahkamah Syariah dipertingkatkan melalui pindaan Rang Undang-undang (RUU) 355.
"Pindaan ini perlu dilakukan di peringkat persekutuan dan akan melibatkan semua negeri. Jika mahu meningkatkan kadar denda atau hukuman penjara, RUU 355 perlu dipinda,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah The Malaysia Book of Records, Ayam Gepuk Pak Gembus pada Khamis.
Terdahulu, Aliff atau nama sebenarnya Mohammad Aliff Aziz, 33, dan Ruhainies atau nama penuhnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan pada 21 Februari lalu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat.
Mohd Na'im berkongsi bahawa pasangan yang ditahan tahun lalu itu menukar pengakuan kepada bersalah.
Pada 3 Julai 2024, kedua pasangan tersebut mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Sementara itu, Mohd Na'im menjelaskan, keputusan mahkamah juga mengambil kira faktor yang boleh mengurangkan hukuman termasuk pengakuan bersalah oleh tertuduh.
“Dalam mana-mana kes, sama ada di mahkamah Syariah atau sivil, prinsip ‘mitigating factor’ akan diambil kira. Salah satu faktornya adalah pengakuan bersalah oleh tertuduh yang boleh mengurangkan hukuman,” ujarnya.
BERITA TRENDING: Kes Khalwat: Aliff Aziz & Ruhainies Dipercayai Sudah Bayar Denda RM3,000 Setiap Seorang?
BERITA TRENDING: Kes Khalwat: Aliff Aziz, Ruhainies Tak Muncul Di Mahkamah
Beliau turut menegaskan bahawa setiap pengakuan bersalah perlu dibuat secara sukarela tanpa sebarang paksaan atau pengaruh luar.
“Hakim yang membicarakan kes akan bertanya sama ada tertuduh membuat pengakuan tanpa sebarang ugutan atau pengaruh.
“Ini adalah prosedur biasa, termasuk dalam kes ini kerana pada awalnya kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah sebelum menukar pengakuan mereka,” jelasnya.