Berita
"Dia Nak Keluar Pergi Dating, Pergilah..." - Nak Kembali Dengan Bekas Isteri? Ini Penjelasan Keith Foo
Pelakon Keith Foo memberitahu bahawa dia sudah mula berasa cukup selesa menjalani kehidupan solo sebagai seorang duda buat masa sekarang.
Bahkan, Keith, 38, turut memberi gambaran dirinya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk kembali hidup bersama dengan bekas isterinya.
"Kami dah sangat selesa dengan keadaan sekarang. Kita pun dah gembira, kenapa perlu ubah? Kami berpisah pun untuk sesuatu yang lebih baik.
"Kadang-kadang berpisah bukan untuk sesuatu yang negatif, tetapi demi kebaikan. Lagipun, fokus utama kami sekarang adalah melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada anak kami," katanya.
Keith berkata demikian ketika ditemui Gempak sewaktu Majlis Perasmian Crystal C White di Menara Kuala Lumpur semalam yang menyaksikan dirinya dilantik sebagai duta produk.
Jelasnya lagi, buat masa ini, dia juga tidak pernah terfikir untuk mencari pengganti lain.
"Hati saya masih terbuka, cuma, buat masa inii, saya tak mencari, tak fikir pun (nak cari pengganti). Bahkan, tak ada juga (wanita) yang cuba dekati saya.
"Anak pun dah cukup mengisi kekosongan hati saya," katanya.
Pada masa sama, kata Keith, dia juga tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya bekas isterinya itu sudah menemui pengganti lain.
"Saya okey sahaja. Asalkan dia gembira. Macam dia nak keluar pergi dating, pergilah...I'm so happy for her.
"Lagipun, saya di rumah boleh jaga anak," katanya.
Sebelum ini, Keith dilaporkan berpisah dengan isterinya, Kim Raymond pada Disember 2019 selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.
Pasangan tersebut dikurniakan seorang cahaya mata, Skylar Raymond Foo yang kini menginjak usia empat tahun.
Biarpun berpisah, pasangan tersebut dilihat masih lagi menjalin hubungan baik sebagai bekas suami isteri.
Must-Watch Video