Datuk kepada remaja yang tular dan dimandikan seperti jenazah kerana mencuri tabung masjid, Rosli Sidek, mengakui meminta Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al Islahiah Kuang untuk membuat laporan polis terhadap cucunya itu.

Rosli turut tidak menafikan dakwaan mengenai remaja tersebut mencuri wang persediaan neneknya untuk menunaikan umrah berjumlah RM2,000 seperti yang tular di media sosial.

[[BACA: Lelaki Dimandikan Seperti Jenazah Rupanya Penagih Syabu, Pernah Curi Duit Nenek?]]

“Selepas SPM dia bekerja sendiri, macam-macam kerja termasuk mengikut ayahnya pergi ke laut. Dia memang pernah mencuri dan mengancam keluarga.

“Duit nenek dia untuk pergi umrah sebanyak RM2,000 dia pernah ambil. Dia juga pernah ambil moto Honda saya untuk dijual, tetapi kejiranan di sini dapat tahu,” katanya menerusi temubual bersama portal MalaysiaGazette.

Kata Rosli lagi, dia berterima kasih kepada AJK masjid kerana membawa cucunya ke muka pengadilan dan tidak menyesal di atas tindakannya itu.

[[BACA: "Ingatkan Mandikan Dia Macam Jenazah Dah Cukup Jadikan Pengajaran..." - Warganet Kecewa Tindakan Kariah Masjid]]

“Saya tidak menyesal, kerana kalau tidak kerana ini (tular), semuanya tidak akan terungkap. Saya bersyukur kerana pihak masjid bertanggungjawab dan mengambil berat tentang cucu saya, yang saya sendiri tak dapat kawal.

“Saya berterima kasih sangat kepada pihak masjid. Insya-Allah cucu say aini diberi peluang untuk masa depan dia.

“Kalau nak harapkan saya, memang apa yang saya boleh buat?...Makan minum saya sendiri pun dibantu.

“Macam saya ni…setiap yang hidup pasti akan mati, tapi dia akan menempuh perjalanan yang lama lagi,” katanya sebak.

Dalam pada itu, Rosli turut mengesyaki cucunya terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Saya rasa dia baru terlibat dengan dadah, tetapi dia bukan penagih tegar. Jadi mungkin sebab itu dia gagal mengawal dirinya,” ujar Rosli.

Sumber: Youtube MGTV