Selepas beberapa hari netizen mengkritik cara beberapa individu yang didakwa menghukum seorang pencuri tabung dari sebuah masjid, nampaknya terdapat pencerahan yang dikongsikan oleh netizen.

Menerusi komen yang ditinggalkan di Facebook, seorang netizen berkata, lelaki berkenaan sudah dihalau keluar daripada rumah kerana pernah mencuri duit neneknya berjumlah RM2,000 selain menjual motosikal datuknya sendiri.



“Budak ni duduk bersama mak, adik, nenek dan datuk dia, budak ni liar sangat. Budak ni ada masalah dalam keluarga. Budak ni dah dihalau dari rumah sebab budak ni mencuri duit nenek RM2,000 dan menjual motor datuk dia sendiri dan pelbagai lagi.

“Selepas dari kejadian tu datuk dia halau dari rumah dan tak sanggup nak bela budak ni. Semasa kami menangkap budak ni, tabung yang dicuri tu di simpan dalam bilik mandi jenazah. Jadi, kami bawak budak ni ke bilik mandi jenazah untuk mengesahkan betul ke tabung tu dicuri.

“Budak ni mengaku dia yang curi tabung tu yang duit di dalam selepas dikira RM3,666. Pihak masjid memandikan budak tu sebab mahu memberi pengajaran pada budak tu. Kami memanggil datuk budak tu atas sebab nak serahkan budak tu tetapi datuk budak tu sendiri yang suruh serahkan budak tu kepada polis sebab datuknya tak sanggup nak bela budak tu,” ujar kenyataan yang dikongsi.

Selain itu, ada juga yang mendakwa dia pernah ingin mencederakan datuknya dengan parang sebelum ini.

Sungguhpun ada yang terkejut dengan pendedahan tersebut, masih ada segelintir yang tetap dengan pendirian yang pihak masjid tidak patut menghukum lelaki tersebut sedemikian rupa.

“Tindakan diambil pihak masjid memang tidak wajar bila video itu disebar oleh pihak mereka kepada umum. Tindakan jamin dan serah semula beliau kepada keluarga juga tidak wajar jika dilihat kepada maklumat dari jiran sekampung mereka itu,” ujar seorang pengguna Twitter.

Terdahulu, tular di media sosial aksi seorang lelaki yang difahamkan menyimbah air ke badan seorang lelaki yang didakwa mencuri tabung masjid.

Tindakan lelaki tersebut mendatangkan amarah netizen dan menyatakan ia sebagai satu tindakan yang sangat kejam.