Susulan berita mengenai remaja yang dihukum kerana cuba mencuri tabung masjid, warganet meluahkan rasa tidak puas hati selepas mengenai dia dikenakan hukuman penjara dan terpaksa membayar denda.

Remaja tersebut, Daniel Iskandar, 19, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang, semalam (Khamis), selepas mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah.

Rata-rata warganet meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan kariah masjid dan menganggap mereka tidak mempunyai sifat berperi kemanusiaan.

Tambahan lagi selepas mengetahui Daniel cuba mencuri kerana terdesak mencari duit rawatan datuknya yang sedang sakit dan kesalahan tersebut adalah pertama kali dilakukan.

“Jemaah masjid boleh je selesaikan tanpa perlu panjang-panjangkan sampai ke pihak berkuasa. Lagi pun dia sudah menerima hukuman jadi jenazah, cukuplah sebagai pengajaran.”

“Bukanlah nak menyokong perbuatan yang salah tetapi dia dah terima hukuman dimandikan macam jenazah, ditularkan lagi. Itu pengajaran buat dia, sekarang ini bertambah masalah dia nak kena bayar denda dan masuk penjara. Macam mana dengan datuk dia?”

“Kesiannya…Kariah masjid pun kejam sangat kenapa. Ada cara lebih baik untuk beri pengajaran kepada dia.”

“Matlamat tidak menghalalkan cara tetapi selidiklah dulu latar belakang budak tu. Bantulah dia bukan terus heret pegi balai. Apapun tahniah kepada peguam kerana memberikan perkhidmatan percuma dan cuba membantu adik ni.”

Antara komen-komen yang ditinggalkan warganet di laman sosial.

Beberapa hari lalu tular di media sosial video berdurasi satu minit 25 saat memaparkan tindakan jemaah masjid memandikan lelaki itu seperti jenazah serta dia dilumurkan dengan kapur barus kerana mencuri tabung.

Lelaki tersebut dilihat mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan di Kuang, Rawang dekat sini pada 11.58 malam, 8 Januari lalu.

Memetik laporan Harian Metro, sebelum menjatuhkan hukuman, Majistret Nik Mohd Fadli turut menegur tindakan tertuduh yang cuba mencuri tabung masjid kerana ia perbuatan yang salah.

"Tahu apa salah awak? Duit orang bagi untuk masyarakat dan pembangunan masjid, awak curi letak dalam bilik jenazah pula. Harap benda ini jadikan satu pengajaran dan kesedaran pada awak," kata Nik Mohd Fadli.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang tidak bekerja itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 9 Januari lalu dan dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam supaya memberi pengajaran kepada tertuduh serta mencegah orang lain daripada melakukan perbuatan sama.

Peguam Azman Abdullah yang mewakili Daniel memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan alasan ini kesalahan pertama kali anak guamnya serta dia telah insaf.

"Anak guam saya memohon maaf kepada mahkamah dan pihak masjid. Alasan dia (cuba mencuri) kerana dia perlukan duit untuk membeli ubat datuknya yang menghidap penyakit kencing manis. Dia cuba meminta kepada orang tetapi mereka tidak boleh tolong.

"Anak guam saya adalah anak sulung daripada tiga adik-beradik dan ibu bapanya bercerai sejak dia berusia lapan tahun. Dia tinggal bersama datuknya berusia 70-an dan kehidupan mereka bukan senang. Makan dan minum juga daripada sedekah jiran-jiran," kata Azman yang juga peguam pro bono (tanpa bayaran atau sukarela).

Menurut Azman, meskipun tertuduh salah, tindakan pihak mengambil video seperti yang tersebar menerusi laman sosial adalah tidak wajar kerana menyebabkan tekanan kepada tertuduh dan keluarga.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.