Pasangan berdarah manis Risteena Munim dan Isa Khan yakin hubungan mereka mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga.

BACA: Risteena Munim & Isa Khan Umum Bertunang, Sorok Kisah Cinta Sebab...

Kata Risteena, keperibadian Isa telah menambat hatinya dan menafikan segala dakwaan orang ramai bahawa tunangan kacaknya itu seorang kaki perempuan.

"Saya pernah tanya dia, betulkah dia playboy? Jawabnya dia mencari seorang wanita yang tepat dalam hidupnya dan sepanjang pencarian itu dia mengenali orang lain sebelum saya.

"Selagi tidak sesuai dia terus mencari dan normallah, kalau saya buat begitu takkan saya dilabel playgirl pula?

"Jadi, apabila Isa bertemu dengan saya katanya sayalah wanita yang dicari-cari selama ini," katanya.

Risteena yang ditemui pada majlis pengumuman pertunangannya bersama Isa di BoraOmbak Putrajaya baru-baru ini memberitahu Isa seorang lelaki yang jujur.

"Apabila mula-mula jumpa saya rasa seperti kami sudah kenal. Dia jujur dan ikhlas dan tak ada niat nak main-main.

"Walau dia lebih muda daripada saya, dia sangat matang dan berfikiran terbuka," tambah kakak kepada pelakon Ruhainies itu lagi.

Akui Isa pula, dia berkenalan dengan ramai wanita demi mencari individu paling layak untuknya dijadikan suri hati.

"Tak salah saya berjumpa beribu orang pun untuk saya kenal hati budi mereka sampailah saya berjumpa dengan seorang yang terbaik. Kalau saya tak buat saya tak jumpa," jelas Isa.

Isa dan Risteena telah mengikat tali pertunangan pada 23 November lalu ketika bercuti di Bali, Indonesia dengan bersaksikan keluarga kedua-dua belah pihak.

Pasangan itu mula berkenalan ketika menjalani penggambaran drama bersiri Bulan Di Kota Langit sekitar pertengahan tahun ini.